PERATURAN

Liga Bolasepak Rakyat (LBR) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan menganjur dan mengelolakan satu ( 1 ) pertandingan bola sepak yang dinamakan Pertandingan Liga Bolasepak Rakyat Wanita.
Status Pertandingan adalah bertaraf Amatur. 
  • Penyertaan pasukan adalah TERBUKA serta mendapat pengesahan dan sokongan daripada Persatuan Bolasepak Negeri.
  • LBR boleh menjemput mana-mana pasukan lain yang difikirkan layak untuk menyertai pertandingan.
  • UNDANG-UNDANG PERMAINAN BOLASEPAK
    Pertandingan akan dijalankan mengikut Undang-undang Permainan ( Laws Of The Games ) semasa sebagaimana yang diputuskan oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bolasepak ( FIFA ). Ini bermakna, mana-mana perkara di dalam Peraturan Pertandingan ini berkaitan tatacara dan apa jua prosedur yang tidak disentuh, maka perlaksanaan adalah mengikut Undang-undang Permainan ( FIFA ) tersebut.
  • MATA PERLAWANAN
    Pasukan yang menang akan mendapat tiga ( 3 ) mata, satu ( 1 ) mata bagi pasukan yang seri dan kosong ( 0 ) mata bagi Pasukan yang kalah
  • Penentuan Pasukan dalam Kumpulan dibuat melalui undian dan penentuan Tuan Rumah bagi setiap Kumpulan akan ditentukan oleh LBR.
A. Peringkat Awal
  1. Pertandingan dijalankan secara liga satu ( 1 ) pusingan dalam kumpulan.
  2. Johan dan Naib Johan Kumpulan ( 8 Pasukan ) layak ke Peringkat Suku Akhir.
  3. Jika terdapat dua ( 2 ) atau lebih pasukan memperolehi mata yang sama untuk layak ke Peringkat Suku Akhir, maka kriteria-kriteria berikut (mengikut keutamaan) akan diambil kira untuk menentukan kedudukanya:-
    • Pasukan yang mendapat perbezaan gol terbanyak.
    • Pasukan yang menjaringkan gol terbanyak.
    • Pasukan yang memenangi perlawanan terbanyak.
    • Pasukan yang mengalahkan lawannya di pusingan awal.
    • Pemenang ditentukan dengan lentingan syiling.
B. Peringkat Suku Akhir
  1. Penentuan Perlawanan bagi Peringkat Suku Akhir adalah seperti berikut :-
    • Johan Kumpulan A mln. Naib Johan Kumpulan B
    • Johan Kumpulan B mln. Naib Johan Kumpulan A
    • Johan Kumpulan C mln. Naib Johan Kumpulan D
    • Johan Kumpulan D mln. Naib Johan Kumpulan C
  2. Perlawanan Suku Akhir akan diadakan secara kalah mati timbal balik iaitu perlawanan ditempat sendiri dan ditempat lawan. Pasukan pemenang ( 4 pasukan ) untuk layak ke Peringkat Separuh Akhir akan ditentukan selepas keputusan penuh masa perlawanan pertama dan kedua mengikut hiraki berikut :-
    • Pasukan yang mendapat mata tertinggi dikira pemenang, jika sama,
    • Pasukan yang mempunyai perbezaan gol terbanyak dikira pemenang, jika sama,
    • Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak dikira pemenang, jika sama,
    • Jaringan gol di tempat Pasukan lawan dikira berganda, jika sama,
    • Keputusan perlawanan masa tambahan, jika sama,
    • Jaringan gol ditempat Pasukan Lawan dalam permainan masa Tambahan seperti Peraturan 6.(B)(2)(v) dikira berganda, jika sama,
    • Penentuan pemenang dibuat melalui sepakan dari tanda penalti.
C. Peringkat Separuh Akhir
  1. Penentuan Perlawanan bagi Peringkat Separuh Akhir adalah seperti berikut:-
    • Johan A / Naib Johan B mln. Johan D / Naib Johan C
    • Johan B / Naib Johan A mln. Johan C / Naib Johan D
  2. Perlawanan Separuh Akhir akan diadakan secara kalah mati timbal balik iaitu perlawanan ditempat sendiri dan ditempat lawan. Pasukan pemenang ( 2 pasukan ) untuk layak ke Perlawanan Akhir akan ditentukan selepas keputusan penuh masa perlawanan pertama dan kedua mengikut hiraki berikut;
    • Pasukan yang mendapat mata tertinggi dikira pemenang, jika sama,
    • Pasukan yang mempunyai perbezaan gol terbanyak dikira pemenang, jika sama,
    • Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak dikira pemenang, jika sama,
    • Jaringan gol ditempat Pasukan lawan dikira berganda, jika sama,
    • Keputusan perlawanan masa tambahan, jika sama,
    • Jaringan gol ditempat Pasukan Lawan dalam permainan masa tambahan seperti Peraturan 7.(C)(2)(v) dikira berganda, jika sama,
    • Penentuan pemenang dibuat melalui sepakan dari tanda penalti.
(D). Penentuan Pemenang - Perlawanan Akhir
  1. Bagi Perlawanan Akhir ini, jika keputusan adalah seri setelah masa sebenar permainan, maka tambahan masa hendaklah diadakan. Jika kedudukan masih seri, sepakan dari tanda penalti hendaklah dibuat untuk menentukan pemenang.
  2. Jika dalam masa tambahan, satu pasukan mendahului pasukan lawan dengan lebih jaringan gol dan perlawanan terpaksa dibatalkan oleh pengadil kerana keadaan padang permainan tidak membenar permainan diteruskan atau cuaca terlalu buruk, maka pasukan yang memperolehi lebih jaringan itu dikira pemenang.
  3. Jika perlawanan berkeputusan seri selepas masa sebenar permainan, atau masih seri juga setelah tamat masa tambahan dan perlawanan terpaksa dibatalkan oleh kerana keadaan luar jangka yang serius atau cuaca burok atau keadaan padang tidak membenarkan permainan diteruskan atau membolehkan Sepakan dari Tanda Penalti dibuat, maka kedua-dua pasukan akan diisytiharkan Johan Bersama.
A. Jadual Perlawanan
  1. Jawatankuasa LBR akan mengedarkan jadual perlawanan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian sekurang-kurangnya 14 hari sebelum musim dimulakan.
  2. Pasukan tidak dibenarkan membuat pertukaran kepada jadual perlawanan tanpa kelulusan LBR.
B. Warna dan Nombor Jersi
  1. Semua pasukan wajib mendaftar sekurang-kurangnya dua ( 2 ) set jersi yang berlainan warna dan mengisytiharkan warna jersi yang wajib dipakai semasa menjadi Pasukan Tuan Rumah. Pasukan Tuan Rumah adalah nama pasukan yang disebut dahulu di dalam jadual pertandingan. Pasukan Pelawat hendaklah memakai warna jersi berlainan daripada warna jersi pasukan Tuan Rumah.
  2. Jika berlaku persamaan warna jersi kerana Pasukan Tuan Rumah tidak memakai warna jersi yang diisytiharkan, maka Pasukan Tuan Rumah wajib menukar warna jersinya. Jika berlaku persamaan warna jersi kerana pasukan pelawat memakai warna jersi yang sama dengan Pasukan Tuan Rumah, maka pasukan Pelawat yang wajib menukarkan warna jersinya. Jika tiada penyelesaian, Komisioner perlawanan ( KP ) atau penilai pengadil ( PP ) akan membuat keputusan mengenai warna jersi tersebut dan keputusan adalah muktamad.
  3. Pasukan Pelawat iaitu pasukan yang disebut namanya kedua didalam jadual pertandingan hendaklah membawa dua ( 2 ) set jersi di dalam setiap perlawanan.
  4. Pemain wajib memakai nombor jersi yang didaftarkan sahaja. Warna Jersi penjaga gol hendaklah berlainan daripada warna jersi lain-lain pemain, tetapi warna jersi penjaga gol 1 dan 2 hendaklah sama. Pemain-pemain yang didapati memakai nombor jersi lain daripada yang didaftarkan akan dikenakan tindakan tatatertib.
  5. Enam ( 6 ) penggantian pemain dibenarkan untuk setiap pasukan bagi satu-satu perlawanan.
C. Bola Perlawanan
  1. Bola Perlawanan mestilah bola yang diluluskan seperti terkandung di dalam undang-undang Permainan FIFA yang terkini ( Laws of the Games ) yang akan disediakan oleh LBR.
  • Prosidur ‘Count Down to kick-off’ ( CDTK ) yang digunapakai oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)/ FMLLP akan dilaksanakan bagi semua perlawanan dan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
  • Borang ‘Start List’
    Tiap-tiap pasukan hendaklah mengemukakan nama sebelas ( 11 ) pemain dan tidak lebih sembilan ( 9 ) pemain pengganti serta nombor jersi masing-masing di dalam borang ‘Start list’ 90 minit sebelum masa sepakmula perlawanan kepada Koordinator Perlawanan ( KP ).
A. Ketua Pasukan
Setiap ketua pasukan hendaklah memakai lilitan lengan yang nyata di lengan kiri jersinya pada setiap perlawanan. Sekiranya ketua pasukan digantikan, maka lilitan lengan tersebut hendaklah diberi kepada pemain yang mengambil alih sebagai ketua pasukan.
B. Penghuni kawasan teknikal/ bangku simpanan
  1. Tidak lebih tujuh ( 7 ) orang pegawai dan tidak lebih sembilan ( 9 ) orang pemain pengganti bagi setiap pasukan yang disenaraikan sebelum perlawanan bermula boleh menduduki bangku di kawasan teknikal bagi setiap perlawanan.
  2. Semua pegawai hendaklah sentiasa memakai kad akreditasi. Pegawai yang tidak mempunyai kad akreditasi boleh dihalang daripada menduduki bangku simpanan.
  3. Hanya seorang sahaja diberi arahan-arahan tektikal kepada pemain-pemain pasukannya, pada satu-satu masa.
  4. Pegawai-pegawai dan pemain-pemain simpanan yang berada dibangku simpanan hendaklah berpakaian kemas dan memakai kasut. Warna pakaian pegawai dan pemain di bangku simpanan hendaklah berlainan dari pakaian pemain-pemain dan pegawai perlawanan di padang.
  5. Penghuni di bangku simpanan hendaklah sentiasa bertertib dan dilarang ;
    • Membantah atau kerap membantah keputusan pengadil, penolong pengadil atau pegawai ke - 4
    • Provokasi kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan
    • Merokok atau menghisap rokok e-elektronik (vape ) di kawasan teknikal
    • Membaling sebarang objek masuk ke dalam padang termasuk air minuman
    • Merosakkan harta benda awam atau fasiliti di situ
A. Tempoh masa permainan
Tempoh masa permainan ialah 35 minit bagi separuh masa pertama dan 35 minit bagi separuh masa kedua. Rehat pada separuh masa tidak melebihi 15 minit kecuali dengan izin pengadil.
B. Tambahan masa
  1. Apabila tambahan masa ditetapkan iaitu bagi perlawanan peringkat kalah mati maka masa itu mestilah mengandungi dua bahagian masa yang sama iaitu 15 minit tiap-tiap bahagian dengan tiada masa rehat untuknya. Pemain boleh diberi tidak lebih 5 minit masa rehat pada akhir masa perlawanan sebenar sebelum dimulakan tambahan masa permainan.
  2. Pemain tidak boleh meninggalkan padang pada waktu rehat antara cukup masa dengan masa tambahan kecuali dengan kebenaran pengadil.
Masa sepak mula bagi setiap perlawanan adalah ditetapkan seperti jadual yang diedarkan.
Venue yang hendak digunakan mestilah diisytiharkan oleh Pasukan Tuan Rumah sebelum pertandingan bermula. Syarat-syarat minima venue yang ditetapkan adalah seperti berikut :
  1. Boleh memberi tahap keselamatan yang sempurna kepada pemain-pemain, pegawai-pegawai perlawanan dan penonton.
  2. Mempunyai bangku pegawai dan bangku pemain simpanan berbumbung atau khemah atau mempunyai bahan pelindung dari panas dan hujan
  3. Mempunyai bilik persalinan pegawai-pegawai perlawanan dan pemain-pemain dan tandas yang berada di dalam keadaan baik dan boleh digunakan
  4. Jika bermain di waktu malam, tahap lampu limpahnya hendaklah terang dan diakui oleh pengadil perlawanan.( 800 lux )
  5. Jika pasukan Tuan Rumah pada bila-bila masa hendak menggunakan venue yang berlainan daripada yang diisytiharkan, maka kelulusan hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada LBR dengan memberi notis sekurang-kurangnya 48 jam. Venue baharu hendaklah berada dilokasi yang sama atau berhampiran.
  6. Pasukan Tuan Rumah yang menganjurkan perlawanan adalah bertanggungjawab memastikan venue yang akan diguna disediakan dengan rapi dari segi peralatan dan kelengkapan serta bertanggungjawab juga mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkan venue dan peralatannya tidak disalahguna atau dirosakkan oleh mana-mana pihak.
A. Peringkat Awal (Kumpulan), Suku Akhir dan Separuh Akhir
  1. Sekiranya pengadil memberhentikan dan menangguhkan permainan kerana keadaan cuaca, padang permainan atau hal-hal luar jangka, permainan itu hendaklah di sambung semula dalam masa 45 minit (tempoh menunggu) dari masa ia diberhentikan.
  2. Jika selepas masa 45 minit perlawanan diberhentikan, perlawanan tersebut hendaklah ditunda dan dimainkan semula, keesokan harinya dengan baki tempoh masa permainan yang ditangguhkan dan dengan kedudukan senarai pemain ( semasa ), kad jaringan gol, jika ada, dikekalkan.
  3. Walau bagaimanapun, sekiranya venue perlawanan mempunyai lampu limpah, Koordinator Perlawanan (KP) hendaklah menggunakan budibicaranya supaya perlawanan itu diteruskan pada hari yang sama.
  4. Bagi mana-mana perlawanan yang ditunda atau dihentikan, Koordinator Perlawanan ( KP ) setelah berunding dengan pasukan Tuan Rumah/ Pengelola akan menetapkan masa permulaan dan pasukan-pasukan terlibat hendaklah mematuhi masa permulaan yang ditetapkan itu.
  5. Jika pengadil memberhentikan permainan semasa sepakan dari tanda penalti dibuat dan tidak dapat disempurnakan kerana sebab-sebab di Peraturan 14.(A)(i), maka sepakan dari tanda penalti itu hendaklah dibuat semula sepenuhnya mengikut peraturan pada keesokan harinya dengan kedudukan 0 - 0. Hanya pemain-pemain yang terakhir dari kedua-dua pasukan yang berada di padang semasa tamat penuh masa permainan sahaja layak membuat sepakan ulangan dari tanda penalti itu.
  6. Bagi perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir yang ditangguhkan untuk dimainkan semula keesokan harinya, pasukan adalah bertanggungjawab sendiri sepenuhnya di atas perbelanjaan makan, penginapan dan pengangkutan masing-masing.
  7. Sekiranya pengadil memberhentikan perlawanan kerana sikap penonton, pegawai, pemain atau pemain pengganti sesuatu pasukan yang tidak bertanggungjawab, maka Jawatankuasa LBR akan membuat keputusan berikut :
    • Kemenangan diberi kepada pasukan lawannya dengan 3 mata dan jaringan gol 3-0 atau jaringan semasa perlawanan dihentikan jika ianya lebih.
    • Jawatankuasa LBR akan merujukkan Pengurusan pasukan yang berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM untuk tindakan selanjutnya.
(A) Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada :
PEGAWAI PASUKAN (Maksima 10 dan minima 4 orang pegawai). 2 orang pegawai hendaklah daripada wanita. 1 orang Pengurus Pasukan( Wajib )
1 orang Ketua Jurulatih( Wajib)
2 orang lain-lain pegawai ( Wajib)
Setiap pasukan dibenarkan mendaftar pemain seperti berikut :-
  • Tidak kurang 25 pemain dan tidak lebih 30 orang pemain
  • Had umur pemain adalah 30 tahun dan kebawah (lahir pada atau sebelum tahun 1987)
  • Hanya tidak lebih daripada 5 orang pemain yanng berumur antara 31 tahun hingga 40 tahun sahaja boleh didaftarkan
Penjaga gol : Minima 3 orang penjaga gol hendaklah didaftarkan
(B) Kelayakan Pemain
  1. Hanya 25 orang pemain yang berumur 30 tahun ( lahir pada tahun 1987 dan ke bawah ) dan 5 orang pemain berumur 31 tahun hingga 40 tahun ( lahir tahun 1986 hingga tahun 1975 ) sahaja layak didaftarkan untuk menyertai pertandingan ini.
  2. Pemain-pemain kebangsaan ( semasa ) tidak dibenarkan mengambil bahagian.
  3. Semua pasukan hendaklah (wajib) mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut melalui pendaftaran online :
      • Salinan kad pengenalan/passport (Format JPEG/JPG)
      • Gambar berukuran Pasport terkini ( tahun semasa )(Format JPEG/JPG)
      • Salinan surat kebenaran Waris atau penjaga bagi pemain berumur 18 tahun kebawah
      • Salinan surat kebenaran dari sekolah bagi pemain berumur 17 tahun dan kebawah
      • Salinan surat kebenaran dari majikan (jika bekerja)

    PENDAFTARAN TIDAK DISERTAKAN DENGAN DOKUMEN-DOKUMEN TERSEBUT AKAN DITOLAK

  4. Hanya pemain yang berstatus Amatur sahaja dibenarkan bermain
  5. Hanya pemain-pemain yang berdaftar mengikut peraturan yang ditetapkan sahaja boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
(C) Kelayakan Pegawai
  1. Hanya Pegawai Warganegara Malaysia sahaja ( pemegang MyKad ) boleh dilantik tertakluk kepada syarat Pertandingan ini.
  2. Pengurus Pasukan yang dilantik hendaklah mereka yang bebas daripada tindakan Jabatan Insolvensi Malaysia
  3. Ketua Jurulatih hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai minima Sijil Awalan. Salinan Sijil hendaklah disertakan dan disahkan oleh PBN.
  4. Pendaftaran pegawai hendaklah dibuat dalam borang yang disediakan serta mengemukakan dokumen – dokumen seperti di ( B ) di atas.
  5. Pegawai yang masih menjalani hukuman penggantungan kes rasuah dan mengatur perlawanan atau masih di dalam tindakan tatatertib tidak dibenarkan untuk didaftarkan dan menyertai pertandingan ini.
  6. Hanya pegawai-pegawai yang berdaftar mengikut Peraturan yang ditetapkan sahaja boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
(D) Daftar Pemain Peringkat Zon
Maksima dua puluh ( 20 ) pemain daripada 30 pemain yang disenaraikan boleh didaftarkan bagi tiap-tiap perlawanan peringkat ini.
(E) Pendaftaran bagi Perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir
Pendaftaran bagi Perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir - maksima mana-mana 20 pemain daripada 30 pemain yang disenaraikan boleh didaftarkan.
(F) Jawatankuasa LBR boleh menolak pendaftaran mana-mana pemain DENGAN memberikan sebab-sebab penolakan.
  • Sekiranya kurang dari 7 orang pemain dari salah satu pasukan turun ke padang apabila Pengadil mengarahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka pasukan yang mempunyai 7 orang pemain atau lebih di padang adalah diberi kemenangan percuma dengan jaringan 3 - 0.
  • Jika kedua-dua pasukan tidak dapat menurunkan 7 orang pemain atau lebih apabila Pengadil mengarahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka perlawanan tidak boleh dijalankan dan Pengadil hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa LBR yang akan membuat keputusan sewajarnya.
  • Mana-mana pasukan yang menarik diri dari pertandingan selepas undian menentukan kumpulan di buat atau Jadual Pertandingan telah diedarkan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan, maka pasukan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000.00. Pasukan serta pegawai boleh dihalang daripada menyertai pertandingan selama 3 tahun berikutnya.
  • Mana-mana pasukan yang tidak melaporkan diri untuk sesuatu perlawanan, kecuali dalam hal bencana alam dan sebab-sebabnya kemudian diterima oleh Jawatankuasa LBR, atau jika pasukan tersebut enggan meneruskan permainan atau meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan atas apa jua sebab, maka Jawatankuasa LBR akan mengambil tindakan seperti berikut :
    1. Kemenangan diberi kepada pasukan lawannya dengan 3 mata dan jaringan gol 3-0 atau bilangan jaringan semasa perlawanan diberhentikan jika ianya lebih.
    2. Mengenakan denda
    3. Penggantungan pasukan untuk beberapa perlawanan atau musim/ musim-musim berikut.
  • Mana-mana pegawai atau pemain yang terbukti telah membantu atau bersubahat melakukan apa-apa kesalahan di bawah peraturan ini adalah bersalah kerana khianat dan boleh dikenakan penggantungan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada semua peringkat Pertandingan, Pasukan Tuan Rumah atau pasukan yang dipilih untuk menganjurkan Perlawanan Akhir adalah bertanggungjawab untuk menyedia dan menguruskan perkara-perkara berikut :
  1. Segala urusan padang/ stadium ( venue perlawanan ) dan kelengkapannya seperti yang disenaraikan di Peraturan 13.
  2. Menyediakan bilangan pemungut bola yang mencukupi.
  3. Melantik Pegawai Penyelaras untuk membantu Koordinator Perlawanan.
  4. Melantik pegawai-pegawai Perhubungan ( LO ) untuk Pasukan Pelawat dan Kumpulan Pengadil termasuk membantu penempahan tempat penginapan atau menyediakan pengangkutan tempatan, jika diperlukan.
  5. Mengadakan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan bertujuan untuk pelaksanaan dan melicinkan penganjuran perlawanan yang di Pengerusikan oleh Koordinator Perlawanan
    • Mesyuarat hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit sebelum perlawanan dimulakan.
    • Pasukan Tuan Rumah hendaklah menentukan tarikh, tempat, masa mesyuarat yang ditetapkan dan memaklumkannya kepada pasukan-pasukan, pegawai perlawanan dan pegawai lain yang terlibat.
    • Pasukan pelawat dikehendaki membawa 2 set jersi yang berlainan warna sewaktu mesyuarat tersebut dan penentuan warna jersi pasukan yang bertanding akan dibuat semasa mesyuarat diatas.
  1. Pasukan Tuan Rumah hendaklah bertanggungjawab ke atas :
    • Kelakuan baik pegawai-pegawai, pemain-pemain dan penonton-penonton mereka. Pastikan tempat duduk berasingan bagi penonton Tuan Rumah dan penyokong Pasukan Pelawat.
    • Jika padang terbuka – Kedudukan penonton hanya dibenarkan dibahagian bertentangan dengan bangku simpanan pemain dan pegawai pasukan.
    • Menyediakan kawalan keselamatan yang cukup untuk pasukan pelawat dan Pegawai-pegawai Pertandingan.
    • Mengambil tindakan berjaga-jaga memastikan bahawa tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
  2. Jika didapati sebarang kecuaian atau gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna oleh pasukan Tuan Rumah, atas laporan Koordinator Perlawanan, tindakan tatatertib boleh dikenakan seperti berikut :
    • Memberi amaran
    • Mengenakan denda
    • Menanggung perbelanjaan di atas sebarang kerosakan yang berlaku.
    • Menggantung mana-mana pemain atau pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu untuk sesuatu tempoh masa yang ditentukan.
    • Menggantung penggunaan padang/ stadium itu untuk perlawanan-perlawanan dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Tindakan yang sama juga boleh diambil ke atas pasukan Pelawat jika sebarang perkara buruk berlaku disebabkan kelakuan pegawai-pegawai atau penyokong-penyokong mereka yang dapat dikenali.
  • Pasukan-pasukan yang menang boleh diberikan hadiah wang tunai yang jumlahnya yang ditentukan oleh LBR.
  • Pasukan yang menjadi Johan dan Naib Johan akan menerima 35 pingat emas dan 35 pingat perak. Pasukan yang menjadi Johan juga akan menerima sebuah Piala Pusingan dan Piala Iringan kecuali diputuskan berlainan oleh LBR.
  1. Perlantikan Koordinator Perlawanan, Pengadil, Penolong-penolong Pengadil, Pegawai ke - 4 dan lain-lain pegawai perlawanan :
    • Peringkat zon – oleh PBN ( Pasukan Tuan Rumah )
    • Peringkat Kalah Mati - oleh FAM 
  2. Koordinator Perlawanan dan Pengadil hendaklah membuat laporan lengkap dan dihantar kepada PBN (Peringkat zon) dan LBR ( Peringkat Kalah Mati )
(A) Kod tatatertib dan Kod Etika Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan dikuatkuasakan.
  1. Hukuman tatatertib secara automatik ke atas pemain kerana kesalahan Kad Kuning :
    • Pemain yang menerima tiga ( 3 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang berasingan di Peringkat Kumpulan atau Kalah Mati digantung automatik untuk satu ( 1 ) perlawanan berikutnya.
    • Pemain yang menerima dua ( 2 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang berasingan di peringkat Kalah Mati iaitu Peringkat Suku Akhir dan Separuh Akhir, digantung automatik untuk satu ( 1 ) perlawanan selepas perlawanan di mana dia menerima Kad Kuning ke - 2. 
(B) Hukuman tatatertib secara automatik ke atas Pemain kerana kesalahan Kad Merah
  1. Pemain yang menerima Kad Merah atau yang diperintah keluar padang kerana melakukan kesalahan menerima dua ( 2 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang sama akan digantung automatik untuk satu (1) perlawanan berikutnya.
  2. Pemain yang menerima kad merah atau yang diperintah keluar padang kerana menerima Kad Merah terus, akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya KECUALI kesalahan menyerang (menyiku, menumbuk atau menyepak pemain lawan/ pegawai perlawanan) ATAU meludah pemain lawan/ pegawai perlawanan. Jawatankuasa Tatatertib LBR akan bermesyuarat dan keputusan mesyuarat tersebut akan disampaikan kepada Pasukan sebelum Perlawanan berikutnya kecuali jika kes tersebut berlaku di dalam Perlawanan Akhir.
  3. Pemain yang menerima satu ( 1 ) kad kuning dan selepas itu menerima satu ( 1 ) kad merah, akan digantung perlawanan berikutnya tetapi kad kuning yang diterima itu masih berkuatkuasa.
(C) Hukuman Tatatertib kepada pegawai
  1. Mana-mana pegawai yang diperintah meninggalkan bangku simpanan kerana sentiasa membantah keputusan Pengadil akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya.
  2. Mana-mana pegawai yang diperintah meninggalkan bangku simpanan kerana mengeluarkan kata-kata kesat atau perkataan yang menyinggung perasaan Pegawai Perlawanan akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya dan akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  3. Mana-mana pegawai yang membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran mengenai pentadbiran dan pengurusan pengelolaan pertangdingan Liga Bolasepak Rakyat akan digantung secara automatik dua ( 2 ) perlawanan serta dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib LBR untuk tindakan lanjut
(D) Tindakan Tatatertib ke atas pegawai atau pemain yang menyerang Pegawai Perlawanan
  1. Pegawai atau pemain yang menyerang Pegawai Perlawanan sama ada dengan perbuatan atau niat atau melakukan kesalahan yang serius seperti mencetuskan pergaduhan antara pegawai atau pemain dengan pasukan lain atau dengan Pegawai Pertandingan atau juga dengan penonton atau pada pendapat Jawatankuasa Tatatertib LBR telah melakukan kesalahan yang serius dan boleh menjejaskan imej Pertandingan, LBR dan FAM maka pasukan, pegawai atau pemain yang terlibat akan digantung terus daripada pertandingan dan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  2. Kelakuan ganas atau kelakuan tidak tertib yang dilakukan oleh mana-mana pemain, pegawai atau penonton yang dikenalpasti, atau seperti yang dilaporkan oleh Pegawai Pertandingan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  3. Lain-lain tindakan kesalahan mengikut sebagaimana yang diperuntukan dalam Kod Tatatertib FAM yang berkuatkuasa.
  • Pada Peringkat Zon - Bantahan terhadap keputusan atau pemain-pemain yang tidak layak hendaklah dibuat secara bertulis kepada LBR dan diterima dalam masa enam puluh ( 60 )minit setelah tamat perlawanan.
  • Pada Peringkat Suku Akhir atau Separuh Akhir – sebarang bantahan hendaklah dibuat secara bertulis dan dihantar kepada LBR dalam masa dua puluh empat ( 24 ) jam setelah tamat perlawanan.
  • Semua bantahan tidak akan dipertimbangkan kecuali ia nya disertai bayaran sebanyak RM500.00 dan diterima oleh LBR dalam masa tempoh yang ditetapkan. Bayaran akan dikembalikan jika bantahan itu berjaya.
  • Bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan Pengadil berkaitan dengan fakta undang-undang yang dibuat dalam padang permainan.
  • Bantahan hanya boleh dibuat oleh atau Pengurus atau Ketua Jurulatih pasukan sahaja.
LBR akan membuat keputusan di atas mana-mana perkara yang telah atau tidak diperuntukkan dalam peraturan-peraturan ini dan keputusannya adalah MUKTAMAD. Koordinator Perlawanan ( KP ) boleh menggunakan BUDI BICARANYA untuk membuat keputusan yang bersesuaian ( sekiranya perlu ) hal-hal berkaitan Prosidur Organisasi Teknikal Perlawanan ( OTP ).