LBR

Liga Bolasepak Rakyat (LBR) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan menganjur dan mengelolakan satu ( 1 ) pertandingan bola sepak yang dinamakan Pertandingan Liga Bolasepak Rakyat.
Status Pertandingan adalah bertaraf Amatur
  • Penyertaan pasukan adalah dari Pasukan Bolasepak Daerah/ Bahagian/ Parlimen yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan di atas pengesahan dan sokongan Persatuan Bolasepak Negeri
  • LBR boleh menjemput mana-mana pasukan lain yang difikirkan layak untuk menyertai pertandingan.
  • Bayaran deposit penyertaan bagi setiap pasukan adalah sebanyak RM500.00 ( tidak dikembalikan sekiranya pasukan menarik diri dari kejohanan )
(A) UNDANG-UNDANG PERMAINAN BOLASEPAK
Pertandingan akan dijalankan mengikut Undang-undang Permainan semasa sebagaimana yang diputuskan oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bolasepak ( FIFA ). Ini bermakna, mana-mana perkara di dalam Peraturan Pertandingan ini berkaitan tatacara dan apa jua prosedur yang tidak disentuh, maka perlaksanaan adalah mengikut Undang-undang Permainan ( FIFA ) tersebut.
(B) MATA PERLAWANAN
Pasukan yang menang akan mendapat tiga ( 3 ) mata, satu ( 1 ) mata bagi pasukan yang seri dan kosong ( 0 ) mata bagi Pasukan yang kalah
(A) Jadual Perlawanan
  1. Jawatankuasa LBR akan mengedarkan jadual perlawanan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian sekurang-kurangnya 14 hari sebelum musim dimulakan.
  2. Pasukan tidak dibenarkan membuat pertukaran kepada jadual perlawanan tanpa kelulusan LBR.
  3. Sekiranya pasukan ingin membuat pertukaran, permohonan hendaklah dibuat kepada LBR selewat-lewatnya sepuluh ( 10 ) hari sebelum tarikh perlawanan melalui Persatuan Bolasepak Negeri ( PBN ) masing-masing.
  4. Permohonan pertukaran tarikh perlawanan KERANA pasukan menyertai kejohanan lain TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.
  5. Perlawanan terakhir Peringkat Kumpulan dan Peringkat Kebangsaan hendaklah dimainkan pada WAKTU DAN HARI yang sama atau mengikut kesesuaian.
(B) Warna dan Nombor Jersi
  1. Semua pasukan wajib mendaftar sekurang-kurangnya dua ( 2 ) set jersi yang berlainan warna dan mengisytiharkan warna jersi yang wajib dipakai semasa menjadi Pasukan Tuan Rumah. Pasukan Tuan Rumah adalah nama pasukan yang disebut dahulu di dalam jadual pertandingan. Pasukan Pelawat hendaklah memakai warna jersi berlainan daripada warna jersi pasukan Tuan Rumah.
  2. Jika berlaku persamaan warna jersi kerana Pasukan Tuan Rumah tidak memakai warna jersi yang diisytiharkan, maka Pasukan Tuan Rumah wajib menukar warna jersinya. Jika berlaku persamaan warna jersi kerana pasukan pelawat memakai warna jersi yang sama dengan Pasukan Tuan Rumah, maka pasukan Pelawat yang wajib menukarkan warna jersinya. Jika tiada penyelesaian, Komisioner perlawanan ( KP ) atau penilai pengadil ( PP ) akan membuat keputusan mengenai warna jersi tersebut dan keputusan adalah muktamad.
  3. Pasukan Pelawat iaitu pasukan yang disebut namanya kedua didalam jadual pertandingan hendaklah membawa dua ( 2 ) set jersi di dalam setiap perlawanan.
  4. Pemain wajib memakai nombor jersi yang didaftarkan sahaja. Nombor jersi yang didaftarkan hendaklah bermula daripada nombor 1 hingga 50 sahaja ( pemain biasa ). Nombor jersi 51 hingga 99 adalah untuk pemain-pemain berumur 21 tahun dan kebawah. Warna Jersi penjaga gol hendaklah berlainan daripada warna jersi lain-lain pemain, tetapi warna jersi penjaga gol 1 dan 2 hendaklah sama. Pemain-pemain yang didapati memakai nombor jersi lain daripada yang didaftarkan akan dikenakan tindakan tatatertib.
(C) Bola Perlawanan
  1. Bola Perlawanan mestilah bola yang diluluskan seperti terkandung di dalam undang-undang Permainan FIFA yang terkini ( Laws of the Game ) yang akan disediakan oleh LBR.
  • Prosidur ‘Count Down to kick-off’ ( CDTK ) yang digunapakai oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)/ FMLLP akan dilaksanakan bagi semua perlawanan dan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
  • Borang ‘Start List’
Tiap-tiap pasukan hendaklah mengemukakan nama sebelas ( 11 ) pemain dan tidak lebih tujuh ( 7 ) pemain pengganti serta nombor jersi masing-masing di dalam borang ‘Start list’ pada mesyuarat pengurus-pengurus Pasukan atau tidak kurang dari 90 minit sebelum masa sepakmula perlawanan kepada Koordinator Perlawanan ( KP ).
(A) Ketua Pasukan
  1. Setiap ketua pasukan hendaklah memakai lilitan lengan yang nyata di lengan kiri jersinya pada setiap perlawanan. Sekiranya ketua pasukan digantikan, maka lilitan lengan tersebut hendaklah diberi kepada pemain yang mengambil alih sebagai ketua pasukan
(B) Penghuni kawasan teknikal/ bangku simpanan
  1. Tidak lebih sepuluh ( 10 ) orang pegawai dan tidak lebih tujuh ( 7 ) orang pemain pengganti bagi setiap pasukan yang disenaraikan sebelum perlawanan bermula boleh menduduki bangku di kawasan teknikal bagi setiap perlawanan
  2. Semua pegawai hendaklah sentiasa memakai kad akreditasi. Pegawai yang tidak mempunyai kad akreditasi tidak dibenarkan berada di bangku simpanan.
  3. Hanya satu (1) orang sahaja dibenarkan memberi arahan-arahan tektikal kepada pemain-pemain pasukannya, pada satu-satu masa.
  4. Pegawai-pegawai dan pemain-pemain simpanan yang berada dibangku simpanan hendaklah berpakaian kemas iaitu tidak memakai baju ‘T’ tanpa kolar, seluar pendek atau memakai selipar dan warna pakaian pegawai dan pemain di bangku simpanan hendaklah berlainan dari pakaian pemain-pemain dan pegawai perlawanan di padang.
  5. Penghuni di bangku simpanan hendaklah sentiasa bertertib dan dilarang ;
    • Membantah atau kerap membantah keputusan pengadil, penolong pengadil atau pegawai ke-4
    • Provokasi kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan
    • Merokok atau menghisap rokok e-elektronik (vape ) di kawasan teknikal
    • Membaling sebarang objek masuk ke dalam padang termasuk air minuman
    • Merosakkan harta benda awam atau fasiliti di situ
  1. Tempoh masa permainan ialah 45 minit bagi separuh masa pertama dan 45 minit bagi separuh masa kedua. Rehat pada separuh masa tidak melebihi 15 minit kecuali dengan izin pengadil.
  2. Tambahan masa
    • Apabila tambahan masa ditetapkan iaitu bagi perlawanan peringkat kalah mati maka masa itu mestilah mengandungi dua bahagian masa yang sama iaitu 15 minit tiap-tiap bahagian dengan tiada masa rehat untuknya. Pemain boleh diberi tidak lebih 5 minit masa rehat pada akhir masa perlawanan sebenar sebelum dimulakan tambahan masa permainan.
    • Pemain tidak boleh meninggalkan padang pada waktu rehat antara cukup masa dengan masa tambahan kecuali dengan kebenaran pengadil.
Masa sepak mula bagi setiap perlawanan adalah ditetapkan seperti jadual yang diedarkan.
  1. Venue yang hendak digunakan mestilah diisytiharkan oleh Pasukan Tuan Rumah sebelum pertandingan bermula. Syarat-syarat minima venue yang ditetapkan adalah seperti berikut :
    • Boleh memberi tahap keselamatan yang sempurna kepada pemain-pemain, pegawai-pegawai perlawanan dan penonton.
    • Mempunyai bangku pegawai dan bangku pemain simpanan berbumbung atau khemah atau mempunyai bahan pelindung dari panas dan hujan
    • Mempunyai bilik persalinan pegawai-pegawai perlawanan dan pemain-pemain dan tandas yang berada di dalam keadaan baik dan boleh digunakan
    • Jika bermain di waktu malam, tahap lampu limpahnya hendaklah terang dan diakui oleh pengadil perlawanan. ( 800 lux )
    • Jika pasukan Tuan Rumah pada bila-bila masa hendak menggunakan venue yang berlainan daripada yang diisytiharkan, maka kelulusan hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada LBR dengan memberi notis sekurang-kurangnya 48 jam. Venue baharu hendaklah berada dilokasi yang sama atau berhampiran.
    • Pasukan Tuan Rumah yang menganjurkan perlawanan adalah bertanggungjawab memastikan venue yang akan diguna disediakan dengan rapi dari segi peralatan dan kelengkapan serta bertanggungjawab juga mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkan venue dan peralatannya tidak disalahguna atau dirosakkan oleh mana-mana pihak.
(A) Peringkat Awal (Kumpulan), Suku Akhir dan Separuh Akhir
  1. Sekiranya pengadil memberhentikan dan menangguhkan permainan kerana keadaan cuaca, padang permainan atau hal-hal luar jangka, permainan itu hendaklah di sambung semula dalam masa 45 minit ( tempoh menunggu ) dari masa ia diberhentikan.
  2. Jika selepas masa 45 minit perlawanan diberhentikan, perlawanan tersebut hendaklah ditunda dan dimainkan semula, keesokan harinya dengan baki tempoh masa permainan yang ditangguhkan dan dengan kedudukan senarai pemain ( semasa ), kad jaringan gol, jika ada, dikekalkan.
  3. Walau bagaimanapun, sekiranya venue perlawanan mempunyai lampu limpah, Koordinator Perlawanan (KP) hendaklah menggunakan budibicaranya supaya perlawanan itu diteruskan pada hari yang sama.
  4. Bagi mana-mana perlawanan yang ditunda atau dihentikan, Koordinator Perlawanan ( KP ) setelah berunding dengan pasukan Tuan Rumah/ Pengelola akan menetapkan masa permulaan dan pasukan-pasukan terlibat hendaklah mematuhi masa permulaan yang ditetapkan itu.
  5. Jika pengadil memberhentikan permainan semasa sepakan dari tanda penalti dibuat dan tidak dapat disempurnakan kerana sebab-sebab di Peraturan 12.(A)(i), maka sepakan dari tanda penalti itu hendaklah dibuat semula sepenuhnya mengikut peraturan pada keesokan harinya dengan kedudukan 0-0. Hanya pemain-pemain yang terakhir dari kedua-dua pasukan yang berada di padang semasa tamat penuh masa permainan sahaja layak membuat sepakan ulangan dari tanda penalti itu.
  6. Bagi perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir yang ditangguhkan untuk dimainkan semula keesokan harinya, pasukan adalah bertanggungjawab sendiri sepenuhnya di atas perbelanjaan makan, penginapan dan pengangkutan masing-masing.
  7. Sekiranya pengadil memberhentikan perlawanan kerana sikap penonton, pegawai, pemain atau pemain pengganti sesuatu pasukan yang tidak bertanggungjawab, maka Jawatankuasa LBR akan membuat keputusan berikut :
    • Kemenangan diberi kepada pasukan lawannya dengan 3 mata dan jaringan gol 3-0 atau jaringan semasa perlawanan dihentikan jika ianya lebih.
    • Jawatankuasa LBR akan merujukkan Pengurusan pasukan yang berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM untuk tindakan selanjutnya.
(A) Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada :
PEGAWAI PASUKAN (Maksima 10 dan minima 4 orang pegawai) 1 orang Pengurus Pasukan ( Wajib )
1 orang Ketua Jurulatih ( Wajib )
2 orang lain-lain pegawai ( Wajib )
PEMAIN (Maksima 30 dan minima 25 orang pemain) Syarat-syarat pendaftaran pemain
Hanya pemain yang berumur 28 tahun dan ke bawah sahaja layak didaftarkan untuk menyertai pertandingan ini.
Minima : 10 orang pemain hendaklah berumur 21 tahun dan kebawah.
Penjaga gol : Minima 3 orang penjaga gol hendaklah didaftarkan
(B) Kelayakan Pemain
  1. Hanya pemain yang berumur 28 tahun dan ke bawah sahaja layak didaftarkan untuk menyertai pertandingan ini. Penentuan umur adalah mengikut tahun kelahiran ( contoh: bagi musim 2016/2017, pemain-pemain bawah umur 28 tahun hendaklah lahir pada tahun 1988 dan selepas. Pemain-pemain bawah 21 tahun hendaklah lahir pada tahun 1995 dan selepas ).
  2. Pendaftaran pemain hanya untuk Warganegara Malaysia sahaja
  3. Semua pasukan hendaklah (wajib) mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut melalui pendaftaran online :
      • Salinan kad pengenalan (Format JPEG/JPG)
      • Gambar berukuran Pasport terkini ( tahun semasa )(Format JPEG/JPG)
      • Salinan surat kebenaran Waris atau penjaga bagi pemain berumur 18 tahun kebawah
      • Salinan surat kebenaran dari sekolah bagi pemain berumur 17 tahun dan kebawah
      • Salinan surat kebenaran dari majikan (jika bekerja)
    PENDAFTARAN TIDAK DISERTAKAN DENGAN DOKUMEN-DOKUMEN TERSEBUT AKAN DITOLAK
    (Sistem pendaftaran online akan dibentangkan kepada semua Pasukan ketika sesi taklimat Pasukan yang akan di tentukan oleh Jawatankuasa LBR kelak)
  4. Hanya pemain yang berstatus Amatur sahaja dibenarkan bermain
  5. Pemain professional atau amatur yang bermain di dalam Liga kelolaan FAM dan FMLLP musim semasa adalah tidak dibenarkan untuk didaftarkan ( Piala Belia, Piala Presiden, Piala FAM, Liga Perdana dan Liga Super )
  6. Hanya pemain-pemain yang berdaftar mengikut peraturan yang ditetapkan sahaja boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
(C) Kelayakan Pegawai
  1. Hanya Pegawai Warganegara Malaysia sahaja boleh dilantik tertakluk kepada syarat Pertandingan ini.
  2. Pengurus Pasukan yang dilantik hendaklah mereka yang bebas daripada tindakan Jabatan Insolvensi Malaysia
  3. Ketua Jurulatih hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai minima Sijil Kejurulatihan “C” dan lesen yang sah dan aktif. Salinan Sijil hendaklah disertakan dan disahkan oleh PBN.
  4. Semua pasukan hendaklah mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut melalui pendaftaran online :
    (Sistem pendaftaran online akan dibentangkan kepada semua Pasukan ketika sesi taklimat Pasukan yang akan di tentukan oleh Jawatankuasa LBR kelak)
    • Salinan kad pengenalan ( Format JPEG/JPG )
    • Gambar berukuran Pasport terkini ( tahun semasa )( Format JPEG/JPG )
    • Salinan surat kebenaran dari majikan (jika bekerja)
  5. Pegawai yang masih menjalani hukuman penggantungan kes rasuah dan mengatur perlawanan atau masih di dalam tindakan tatatertib tidak dibenarkan untuk didaftarkan dan menyertai pertandingan ini.
  6. Hanya pemain-pemain yang berdaftar mengikut Peraturan yang ditetapkan sahaja boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
(D) Daftar Pemain Peringkat Liga
Maksima lapan belas ( 18 ) pemain daripada bilangan Pendaftaran Awal boleh didaftarkan bagi tiap-tiap perlawanan peringkat ini.

(E) Pendaftaran bagi Perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir – maksima mana-mana 18 pemain daripada Pendaftaran Awal boleh didaftarkan.

(F) Pendaftaran tambahan/ pertukaran pemain – Pasukan boleh menukar pemain mengikut tarikh yang ditetapkan, dengan syarat :
  • Pemain yang tidak pernah berdaftar dengan pasukan lain pada musim yang sama
  • Pemain baru yang didaftar hanya boleh menggunakan nombor jersi yang belum didaftarkan
  • Mematuhi sepenuhnya peraturan 13.
  • Pemain yang telah dibatalkan pendaftaran TIDAK boleh didaftarkan semula oleh mana-mana pasukan termasuk pasukan asal.
(G) Jawatankuasa LBR boleh menolak pendaftaran mana-mana pemain tanpa memberikan sebab-sebab penolakan.
( LBR AKAN MEMAKLUMKAN TARIKH JENDELA PENDAFTARAN SEMASA TAKLIMAT KEPADA PASUKAN )
  1. Sekiranya kurang dari 7 orang pemain dari salah satu pasukan turun ke padang apabila Pengadil mengarahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka pasukan yang mempunyai 7 orang pemain atau lebih di padang adalah diberi kemenangan pecuma dengan jaringan 3-0.
  2. Jika kedua-dua pasukan tidak dapat menurunkan 7 orang pemain atau lebih apabila Pengadil mengarahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka perlawanan tidak boleh dijalankan dan Pengadil hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa LBR yang akan membuat keputusan sewajarnya.
  3. Pasukan hendaklah mendaftar sekurang-kurangnya tiga ( 3 ) orang pemain berumur 21 tahun dan ke bawah dan seorang ( 1 ) hendaklah berada di padang sepanjang tempoh permainan.
  1. Mana-mana pasukan yang menarik diri dari pertandingan selepas undian menentukan kumpulan di buat atau Jadual Pertandingan telah diedarkan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan, maka pasukan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000.00. Pasukan serta pegawai boleh dihalang daripada menyertai pertandingan selama 3 musim berikutnya.
  2. Mana-mana pasukan yang tidak melaporkan diri untuk sesuatu perlawanan, kecuali dalam hal bencana alam dan sebab-sebabnya kemudian diterima oleh Jawatankuasa LBR, atau jika pasukan tersebut enggan meneruskan permainan atau meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan atas apa jua sebab, maka Jawatankuasa LBR akan mengambil tindakan seperti berikut :
    • Kemenangan diberi kepada pasukan lawannya dengan 3 mata dan jaringan gol 3-0 atau bilangan jaringan semasa perlawanan diberhentikan jika ianya lebih.
    • Mengenakan denda
    • Penggantungan pasukan untuk beberapa perlawanan atau musim/ musim-musim berikut.
  3. Mana-mana pegawai atau pemain yang terbukti telah membantu atau bersubahat melakukan apa-apa kesalahan di bawah peraturan ini adalah bersalah kerana khianat dan boleh dikenakan penggantungan atau denda atau kedua-duanya sekali.
(A) Pada semua peringkat Pertandingan, Pasukan Tuan Rumah atau pasukan yang dipilih untuk menganjurkan Perlawanan Akhir adalah bertanggungjawab untuk menyedia dan menguruskan perkara-perkara berikut :
  1. Segala urusan padang/ stadium ( venue perlawanan ) dan kelengkapannya seperti yang disenaraikan di Peraturan 11.
  2. Menyediakan bilangan pemungut bola yang mencukupi.
  3. Melantik Pegawai Penyelaras untuk membantu Koordinator Perlawanan.
  4. Melantik pegawai-pegawai Perhubungan ( LO ) untuk Pasukan Pelawat dan Kumpulan Pengadil termasuk membantu penempahan tempat penginapan atau menyediakan pengangkutan tempatan, jika diperlukan.
  5. Mengadakan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan bertujuan untuk pelaksanaan dan melicinkan penganjuran perlawanan yang di Pengerusikan oleh Koordinator Perlawanan
    • Mesyuarat hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit sebelum perlawanan dimulakan.
    • Pasukan Tuan Rumah hendaklah menentukan tarikh, tempat, masa mesyuarat yang ditetapkan dan memaklumkannya kepada pasukan-pasukan, pegawai perlawanan dan pegawai lain yang terlibat.
    • Pasukan pelawat dikehendaki membawa 2 set jersi yang berlainan warna sewaktu mesyuarat tersebut dan penentuan warna jersi pasukan yang bertanding akan dibuat semasa mesyuarat diatas.
  1. Pasukan Tuan Rumah hendaklah bertanggungjawab ke atas :
    • Kelakuan baik pegawai-pegawai, pemain-pemain dan penonton-penonton mereka. Pastikan tempat duduk berasingan bagi penonton Tuan Rumah dan penyokong Pasukan Pelawat.
    • Jika padang terbuka – Kedudukan penonton hanya dibenarkan dibahagian bertentangan dengan bangku simpanan pemain dan pegawai pasukan.
    • Menyediakan kawalan keselamatan yang cukup untuk pasukan pelawat dan Pegawai-pegawai Pertandingan.
    • Mengambil tindakan berjaga-jaga memastikan bahawa tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
  2. Jika didapati sebarang kecuaian atau gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna oleh pasukan Tuan Rumah, atas laporan Koordinator Perlawanan, tindakan tatatertib boleh dikenakan seperti berikut :
    • Memberi amaran
    • Mengenakan denda
    • Menanggung perbelanjaan di atas sebarang kerosakan yang berlaku.
    • Menggantung mana-mana pemainatau pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu untuk sesuatu tempoh masa yang ditentukan.
    • Menggantung penggunaan padang/ stadium itu untuk perlawanan-perlawanan dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Tindakan yang sama juga boleh diambil ke atas pasukan Pelawat jika sebarang perkara buruk berlaku disebabkan kelakuan pegawai-pegawai atau penyokong-penyokong mereka yang dapat dikenali.
  • Pasukan-pasukan yang menang boleh diberikan hadiah wang tunai yang jumlahnya yang ditentukan oleh LBR.
  • Pasukan yang menjadi Johan dan Naib Johan akan menerima 40 pingat emas dan 40 pingat perak. Pasukan yang menjadi Johan juga akan menerima sebuah Piala Pusingan dan Piala Iringan kecuali diputuskan berlainan oleh LBR.
  1. Perlantikan Koordinator Perlawanan, Pengadil, Penolong-penolong Pengadil, Pegawai ke -4 dan lain-lain pegawai perlawanan :
    • Peringkat zon – oleh PBN ( Pasukan Tuan Rumah )
    • Peringkat Kebangsaan – oleh FAM
  2. Koordinator Perlawanan dan Pengadil hendaklah membuat laporan lengkap dan dihantar kepada PBN (Peringkat zon) dan LBR ( Peringkat Kebangsaan )
(A) Kod tatatertib dan Kod Etika Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan dikuatkuasakan.
  1. Hukuman tatatertib secara automatik ke atas pemain kerana kesalahan Kad Kuning :
    • Pemain yang menerima tiga ( 3 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang berasingan di Peringkat Zon atau Kebangsaan digantung automatik untuk satu ( 1 ) perlawanan berikutnya.
    • Pemain yang menerima dua ( 2 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang berasingan di peringkat Kalah Mati iaitu Peringkat Suku Akhir dan Separuh Akhir, digantung automatik untuk satu ( 1 ) perlawanan selepas perlawanan di mana dia menerima Kad Kuning ke-2.
    • Semua Kad Kuning yang dikumpul semasa di peringkat zon tidak akan dibawa ke peringkat kebangsaan kecuali Kad Merah ( 2 kad kuning )
(B) Hukuman tatatertib secara automatik ke atas Pemain kerana kesalahan Kad Merah :
  1. Pemain yang menerima Kad Merah atau yang diperintah keluar padang kerana melakukan kesalahan menerima dua ( 2 ) Kad Kuning dalam perlawanan yang sama akan digantung automatik untuk satu (1) perlawanan berikutnya.
  2. Pemain yang menerima kad merah atau yang diperintah keluar padang kerana menerima Kad Merah terus, akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya KECUALI kesalahan menyerang (menyiku, menumbuk atau menyepak pemain lawan/ pegawai perlawanan) ATAU meludah pemain lawan/ pegawai perlawanan. Jawatankuasa Tatatertib LBR akan bermesyuarat dan keputusan mesyuarat tersebut akan disampaikan kepada Pasukan sebelum Perlawanan berikutnya kecuali jika kes tersebut berlaku di dalam Perlawanan Akhir.
  3. Pemain yang menerima satu ( 1 ) kad kuning dan selepas itu menerima satu ( 1 ) kad merah, akan digantung perlawanan berikutnya tetapi kad kuning yang diterima itu masih berkuatkuasa.
(C) Hukuman Tatatertib kepada pegawai :
  1. Mana-mana pegawai yang diperintah meninggalkan bangku simpanan kerana sentiasa membantah keputusan Pengadil akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya.
  2. Mana-mana pegawai yang diperintah meninggalkan bangku simpanan kerana mengeluarkan kata-kata kesat atau perkataan yang menyinggung perasaan Pegawai Perlawanan akan digantung automatik satu ( 1 ) perlawanan berikutnya dan akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  3. Mana-mana pegawai yang membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran mengenai pentadbiran dan pengurusan pengelolaan pertangdingan Liga Bolasepak Rakyat akan digantung secara automatik dua ( 2 ) perlawanan serta dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib LBR untuk tindakan lanjut.
(D) Tindakan Tatatertib ke atas pegawai atau pemain yang menyerang Pegawai Perlawanan :
  1. Pegawai atau pemain yang menyerang Pegawai Perlawanan sama ada dengan perbuatan atau niat atau melakukan kesalahan yang serius seperti mencetuskan pergaduhan antara pegawai atau pemain dengan pasukan lain atau dengan Pegawai Pertandingan atau juga dengan penonton atau pada pendapat Jawatankuasa Tatatertib LBR telah melakukan kesalahan yang serius dan boleh menjejaskan imej Pertandingan, LBR dan FAM maka pasukan, pegawai atau pemain yang terlibat akan digantung terus daripada pertandingan dan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  2. Kelakuan ganas atau kelakuan tidak tertib yang dilakukan oleh mana-mana pemain, pegawai atau penonton yang dikenalpasti, atau seperti yang dilaporkan oleh Pegawai Pertandingan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib LBR-FAM.
  3. Lain-lain tindakan kesalahan mengikut sebagaimana yang diperuntukan dalam Kod Tatatertib FAM yang berkuatkuasa.
  1. Pada Peringkat Liga ( Awal ) – Bantahan terhadap keputusan atau pemain-pemain yang tidak layak hendaklah dibuat secara bertulis kepada LBR dan diterima dalam masa empat puluh lapan ( 48 ) jam setelah tamat perlawanan melalui Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) masing-masing.
  2. Pada Peringkat Suku Akhir atau Separuh Akhir – Sebarang bantahan hendaklah dibuat secara bertulis dan dihantar kepada LBR dalam masa 48 jam setelah tamat perlawanan.
  3. Semua bantahan tidak akan dipertimbangkan kecuali ia nya disertai bayaran sebanyak RM500.00 dan diterima oleh LBR dalam masa tempoh yang ditetapkan. Bayaran akan dikembalikan jika bantahan itu berjaya.
  4. Bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan Pengadil berkaitan dengan fakta undang-undang yang dibuat dalam padang permainan.
  5. Bantahan hanya boleh dibuat oleh Presiden, Setiausaha atau Pengurus PASUKAN SAHAJA.
LBR akan membuat keputusan di atas mana-mana perkara yang telah atau tidak diperuntukkan dalam peraturan-peraturan ini dan keputusannya adalah MUKTAMAD. Koordinator Perlawanan (KP) boleh menggunakan BUDI BICARANYA untuk membuat keputusan yang bersesuaian (sekiranya perlu) hal-hal berkaitan Prosidur Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP).