LATAR BELAKANG

Liga BolaSepak Rakyat (LBR) ini telah diihamkan oleh KDYMM Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ke-5. Tengku Abdullah melihat senario perkembangan bola sepak seharusnya bergerak secara seiring diantara bola sepak profesional dan bukan profesional. Lanjutan daripada itu, Kejohanan Liga Bolasepak Rakyat ini telah dibentangan dan diluluskan untuk perlaksanaan oleh Jawatankuasa Eksekutif di dalam mesyurat kali Ke -2 penggal 2014-2018 pada 9 Oktober 2014 yang lalu.

Objektif dan matlamat utama LBR  adalah sebagai penggera dalam memperkasakan asas piramid kedua. LBR diharap mampu menjadi satu landasan baru kepada  pemain, pegawai teknikal dan pengadil untuk mengasah bakat dan mengutip pengalaman sebelum menyertai  pertandingan profesional mahupun bola sepak sosial, di dalam usaha untuk mengembangkan permainan bola sepak secara bersistem. Selain dari itu, LBR juga diharap menjadi satu institusi yang mampu melahirkan pemain-pemain berpotensi di dalam struktur bola sepak Negara.

Sebagai penganjur, Liga Bolasepak Rakyat Sdn Bhd telah diberi kepercayaan dan mandat untuk merealisasikan ilham Tengku Abdullah untuk tempoh selama 10 tahun (10 musim). Bank Rakyat juga telah berbesar hati untuk menjadi penaja utama kejohanan Liga Bolasepak Rakyat ini.

Pelancaran Liga Bolasepak Rakyat telah diadakan pada 13hb September 2015 di Pekan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. KDYMM Tengku Abdullah, yang juga merupakan  Penaung DiRaja LBR turut berangkat ke majlis tersebut. Majlis pelancaran bermula dengan perlawanan pertama LBR antara pasukan Pekan selaku tuan rumah melawan Petaling dari Selangor, dengan keputusan seri 1 sama.

Musim pertama melibatkan 110 pasukan dari 14 negeri yang dibahagikan kepada 8 zon. Peringkat Zon menyaksikan setiap pasukan beraksi mengikut kumpulan di bawah zon masing masing, untuk memilih 2 pasukan terbaik bagi mewakili setiap zon ke peringkat kebangsaan.  Peringkat zon ini melibatkan hampir 500 perlawanan yang diadakan secara timbal balik.

Peringkat kebangsaan pula  melibatkan 16 pasukan terbaik dari 8 zon, yang dibahagikan kepada 4 kumpulan dan  diadakan secara timbal balik. Pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir secara kalah mati. 4 pasukan yang menang akan bermain di separuh akhir untuk menentukan 2 pasukan terakhir yang akan merebut kejuaraan pada perlawanan akhir nanti.