KANGAR MARA LEBIH AWAL, HULU TERENGGANU RAIH KEMENANGAN PERTAMA

Kangar KSMR mengesahkan slot ke peringkat kalah mati Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 Kumpulan C Zon Utara apabila membenam Pokok Sena 5-1 di Stadium Tuanku Syed Putra Sabtu lalu.

Kemaraan lebih awal itu turut disumbangkan keputusan Kota Setar SRCC tewas tipis kepada Yan 1-0 di Stadium Mini Guar Chempedak.

Pengurusnya Kangar KSMR, Nor Shahril Bakar berkata, walaupun saingan kumpulan masih berbaki dua perlawanan lagi, namun beliau mahu pemainnya terus fokus dan tidak selesa dengan keputusan semasa tersebut.

“Tahniah kepada semua pemain dan pegawai. Apapun kita tidak boleh berasa lega kerana perjalanan kita masih jauh dan kita masih ada satu lagi halangan ‘play off’ sebelum ke peringkat kebangsaan.

“Kami perlu berusaha bagi mengekalkan momentum dalam dua perlawanan terakhir Kumpulan C agar rentak kemenangan dapat diteruskan semasa ‘play off’ nanti,” katanya.

Nor Shahril berkata, rentak pasukannya semakin baik selepas memasuki pusingan kedua malah faktor beraksi di laman sendiri turut menyumbang kepada kecemerlangan prestasi semasa pasukannya itu.

Kangar KSMR kini memunggut 12 mata selepas empat perlawanan diikuti Kota Setar dan Pokok Sena (empat) dan Yan (tiga).

Dalam saingan Kumpulan A, Zon Timur pula, kemenangan sulung yang dicari Hulu Terengganu akhirnya menjelma apabila berjaya menewaskan Pengkalan Chepa, 2-1.

Lebih manis kemenangan ini begitu berharga kerana anak didik Syed Azla Syed Muhamad meraihnya di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.

Bagi Syed Azla, semangat juang pemain begitu tinggi walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama.

“Pertukaran taktikal separuh masa kedua memberikan impak kepada corak perlawanan tersebut.

“Pemain membuktikan kesungguhan meraih kemenangan, kami berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, kejayaan ini hasil semua pemain dan pengurusan,” jelasnya.

Mengenai peluang untuk keperingkat seterusnya, Syed Azla tetap optimis dengan kemampuan barisan pemainnya untuk mengekalkan rentak kemenangan.

“Selepas ini kami akan bertemu UMK FC dilaman sendiri dan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Rantau Panjang – EJD.

“Tiada yang mustahil dalam bola sepak dan kami akan berjuang untuk meraih mata penuh dalam dua perlawanan tersebut,” ujarnya.

Hulu Terengganu kini berada ditangga ketiga liga dengan mengutip lima mata hasil dua seri dan satu kemenangan.

Aksi dalam Kumpulan C, Zon Tengah 1 juga tidak kurang hebatnya dengan kemenangan Hulu Langat 1-0 ke atas Klang untu terus memberikan saingan perebutan ke saingan kalah mata.

Walaupun menang tipis ia merupakan pencetus semangat buat Hulu Langat.

Ketua Jurulatihnya, Arsyah Ayob berkata, tiga mata diraih amat penting terutamanya untuk memastikan peluang ke pusingan seterusnya terbuka.

“Kejayaan ini diraih hasil usaha keras pemain bermula wisel dibunyikan hinggalah tamat selain semangat berpasukan dipamerkan.

“Kami mendapat gol awal dan terus bertahan dengan asakan hinggalah kemenangan diraih,”jelasnya.

Sementara itu, Pengurusnya, Mohd Norhafiz Mazlan juga melahirkan rasa bersyukur apabila misi meraih tiga mata terlaksana.

“Alhamdulilah, kami berjaya meneruskan rentak kemenangan. Pada perlawanan itu kedua-dua pasukan bermain dengan baik terutama pasukan Klang yang sering melancarkan serangan ke kubu kami.

“Komitmen dan disiplin pemain yang ditunjukkan pemain begitu tinggi dan kami berjaya mengekalkan satu gol tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, Hulu Langat kini mengutip tujuh mata dan masih optimis anak didiknya mampu ke pusingan seterusnya.

“Syabas diucapkan pada pemain dan barisan kejurulatihan dan kami berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan pada baki perlawanan akan datang,” katanya

Episod sebaliknya berlaku dalam Kumpulan A Zon Sarawak apabila hajat Kuching-Gedong Gators meraih tiga mata gagal apabila dipaksa seri tanpa jaringan menentang Serian.

Ketua Jurulatihnya, Helearn berkata, perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan berjaya melancarkan serangan ke kubu pihak lawan.

“Cuma kami agak kecewa sebab perancangan banyak tidak menjadi disebabkan keadaan padang yang teruk dan sangat becak.

“Apapun saya tetap berpuas hati aksi pemain dan paling penting kami masih berada di tangan teratas kumpulan,” katanya.

Kuching-Gedong Gators kini mengutip lima mata dan bakal berdepan Samarahan aksi terakhir Kumpulan A.

Gambar : Syed Azla (kanan) memberikan kata-kata semangat dan taktikal pada seisi rehat untuk memastikan pemain bangkit memenangi perlawanan.