TITIWANGSA-PPJJ FC SEMAKIN BERSEMANGAT; TANJUNG MALIM ENGGAN LEKA

MENJELANG saingan pusingan kedua Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/18, Titiwangsa –PPJJ FC kian bersemangat memburu tiga mata untuk terus memimpin Kumpulan B, Zon Tengah 2 untuk memastikan laluan ke pusingan seterusnya terjamin.

Menanti kunjungan Indera Mahkota di Stadium Jeonsa, Kuala Lumpur petang ini , Titiwangsa PPJJ FC tidak rela rekod tanpa kalah yang masih dimiliki lebur ditangan pelawat walaupun diatas kertas lawan kini berada dikedudukan tercorot kumpulan.

Pengurus Titiwangsa-PPJJ FC, Hasmizi Abu Hashim berkata, mereka sudah mempersiapkan pasukan yang mantap dalam semua aspek dan yang pasti akan memberi tentangan hebat kepada Indera Mahkota.

“Pasukan sudah bersedia bagi perlawanan itu. Saya juga sudah mempunyai senarai kesebelasan utama dan yang penting kami sememangnya akan bermain untuk menang.

“Kami juga membawa masuk lima muka baru dalam perpindahan pemain dan berkemungkinan menurunkan dua pemain daripadanya,” katanya.

Justeru, beliau berharap anak-anak buahnya akan memberi sepenuh tumpuan dan komitmen mereka sepanjang perlawanan serta tidak mengambil mudah kemampuan lawan yang kini berada di tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang mata.

Begitupun, Hasmizi mahu pemain menghormati kemampuan pelawat yang sudah pasti akan turun dengan misi sama iaitu mahukan kemenangan dan menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

“Sasaran kita tetap tiga mata. ia penting bagi mengukuhkan kedudukan kita terus kekal di kedudukan teratas kumpulan.

“Pemain harus kekalkan momentum permainan jika mahu mencabar kekuatan pasukan lawan,” katanya.

Selepas berakhirnya pusingan pertama , Titiwangsa kini berada ditangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri , manakala Bentong ditempat kedua, Cherras Marcerra United ketiga dan Indera Mahkota ditangga tercorot kumpulan.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, Zon Barat, Tanjung Malim yang berada ditangga teratas kumpulan selepas mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri bakal berdepan dengan Kerian di Padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus Lama) Tanjung Malim.

Pengendali Tajung Malim, Khairuddin Abdul Majid tanpa berselindung mahu anak didiknya meraih kemenangan dilaman sendiri namun perlu waspada dengan pasukan lawan.

“Strategi kami esok akan menyerang dari minit awal untuk mendapatkan gol kerana ia mampu memberi tekanan kepada lawan.

“Mungkin ada sedikit perubahan posisi dan pemain kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan tidak diturunkan, namun kami percaya pemain yang menggalas kekosongan ini mampu melakukan tugas yang diamanahkan,” jelasnya.