HULU TERENGGANU TAGIH KEMENANGAN, TITIWANGSA TEMPANG

Tempoh rehat hampir dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya pasukan Hulu Terengganu untuk memperbaiki kelemahan dan persefahaman dikalangan pemain sebelum berdepan Rantau Panjang dalam saingan Kumpulan A, Zon Timur Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018, Sabtu ini.

Beraksi di Padang Astaka Majlis Daerah Hulu Terengganu , anak didik Syed Azla Syed Muhamad seharusnya mencatat kemenangan selepas sekadar seri pada perlawanan pertama dan tewas pada aksi sebelum ini.

Bagi Syed Azla, kemenangan pertama perlu diraih untuk terus bersaing dengan pasukan lain dalam Kumpulan A selepas sekadar mengutip satu mata hasil dua perlawanan.

“Kami telah mengadakan dua perlawanan persahabatan dalam tempoh rehat dua minggu ini, hasilnya kemenangan diraih pada aksi tersebut. Terdapat peningkatan dari segi persefahaman dan corak permainan.

“Bagi perlawanan terakhir pusingan pertama ini, tiga mata perlu menjadi milik pasukan,” ujarnya.
Mengenai tekanan beraksi di laman sendiri, Syed Azla melihat ia satu kelebihan buat pemainnya berbanding pasukan lawan kerana peranan penyokong begitu bermakna.

“Kami mengharapkan sokongan peminat tempatan akan menyemarakkan semangat juang barisan pemain, penyokong umpama pemain ke 12 dan kami percaya pemain akan beraksi cemerlang di laman sendiri.

“Segala perancangan telah dilakukan untuk perlawanan dan kami kini bersedia menanti kunjungan Rantau Panjang,” katanya.

Sementara itu pada aksi Kumpulan B Zon Barat pula, kecergasan dikalangan pemain antara elemen utama kekalahan pasukan Barat Daya pada saingan pertama Kumpulan B Zon Barat, minggu lalu.

Hanya mampu memberikan saingan 60 minit sebelum pemain dilihat kurang cergas dan hilang tumpuan antara perkara penting yang dikenalpasti pasukan selepas berakhirnya beberapa perlawanan sebelum ini.

Pengurusnya, Mohd Nasril Ismail berkata, hasil ‘post-mortem’ yang dilakukan mendapati rata-rata pemain gagal memberikan saingan selepas perlawanan memasuki minit ke-60.

“Situasi ini akan diatasi segera dengan pelbagai latihan insentif dilakukan dan kami lihat ada perubahan ketara menjelang saingan menentang Batang Padang di Padang Awam Kongsi, Balik Pulau Sabtu ini,” ujarnya yang menyifatkan ketiadaan beberapa pemain utamanya akibat kecederaan dimanfaatkan sebaik mungkin Ipoh apabila tuan rumah berjaya memperolehi semua empat gol mereka pada separuh masa kedua.

Mohd Nasril berkata, tewas 0-4 kepada Ipoh di Padang Kelab Reakreasi Cina, Perak itu bukan penamat kepada pasukan wakil Pulau Pinang ini sebaliknya mereka tekad untuk bangkit pada perlawanan kedua.

“Kekalahan kepada Ipoh minggu lalu bukan penamat harapan kami untuk bangkit memburu kemenangan, tiga mata penting menjadi buruan kami dalam usaha untuk kembali menempatkan diri di kelompok atasan Kumpulan B Zon Barat,” jelasnya yang memaklumkan pengurusan berazam untuk melepasi peringkat kumpulan musim ini selepas gagal melakukannya dua tahun berturut-turut.

Dalam saingan Kumpulan B, Zon Tengah 2, buruan tiga mata menjadi sasaran utama Titiwangsa dalam kunjungan mereka berdepan Cheras Marcerra United di Stadium Uniten Bangi, Ahad ini.

Titiwangsa yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan kutipan empat mata sedar kemenangan cukup penting bagi meneruskan misi mara ke pusingan seterusnya.

Pengurus Titiwangsa, Hasmizi Abu Hashim berkata, pemainnya kini dalam suasana riang dan tidak sabar mengharungi aksi di tempat lawan.

“Sasaran kita adalah tiga mata. ia penting bagi mengukuhkan kedudukan kita dalam kelompok dua pasukan teratas kumpulan.

“Pemain harus kekalkan momentum permainan jika mahu mencabar kekuatan pasukan tuan rumah,” katanya menjelaskan tiga pemain utamanya mengalami kecederaan.

Begitu pun, dia tidak gusar kerana pemain lain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab dan kekosongan yang ditinggalkan itu.

“Insya Allah, saya yakini kemampuan pemain dan kita harus bersatu dan bermain sebagai satu unit.
“Jika permainan sama dikekalkan ketika menentang bentong tempoh hari saya optimis kita boleh melakukan sesuatu di Bangi,” katanya.

Keterangan Gambar : Kesebelasan utama Hulu Terengganu yang ditagih meraih tiga mata sulung.