TANJONG KARANG TAGIH SIMPATI; KUANTAN SEDIA GEGAR GAWANG LAWAN

SOKONGAN penyokong ditagih dalam membakar semangat pemain Tanjong Karang untuk pertemuan menentang Kuantan saingan Zon Tengah 1 Kumpulan B di Padang Pusat Latihan, Kementerian Pertanian pada Sabtu ini.

Setiausaha pasukan, Mohamad Zaki Kahar akui peranan pemain ke-12 cukup penting memberikan suntikan motivasi kepada pemain Tanjong Karang.

“Saya lihat memang ada peningkatan ketara dipamerkan mereka selepas beberapa perlawanan.
“Kita bermain baik dan mengikut taktikal jurulatih sehingga pasukan menggapai kemenangan.

“Tidak lupa kepada peminat dan penyokong yang terus hadir mendukung pasukan setiap kali kita beraksi,” katanya.
Sementara itu, beliau menjangka jurulatih akan menerapkan formasi 4-4-2 atau 4-1-4-1 untuk pertemuan dengan Kuantan.

“Formasi dan taktikal adalah rahsia pasukan kerana ia melibatkan perancangan jurulatih.
“Apapun terserah kepada jurulatih untuk menyusun strategi kerana paling mustahak adalah memburu kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Kuantan tekad mempertajamkan jentera serangan untuk terus mengutip tiga mata di tempat lawan.
Selepas membenam cabaran Hulu Selangor dengan keputusan 4-1, nafsu wakil dari Pahang itu kian mencanak-canak.
Bagi Setiausaha Pasukan, Ahmad Muda rentak kemenangan harus dikekalkan jika mahu melangkah ke peringkat lebih jauh kempen musim ini.

“Tidak dinafikan serangan kita amat baik setakat ini namun pemain harus menggandakan lagi mutu permainan.
“Kita hanya berlatih¬† dua kali seminggu berikutan komitmen yang tidak dapat dielakkan pemain.

“Tapi kesungguhan ditunjukkan oleh mereka semasa sesi latihan membuatkan kami cukup gembira apabila pemain bersikap profesional dan berlatih dengan penuh tekun dan bersemangat,” katanya menjelaskan kem pasukan Kuantan dalam mood ceria.

Katanya lagi, saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) menjadi platform pemain muda sekitar Pahang mengembangkan karier dalam sukan bola sepak.

“Memang harus dipuji kerana pertandingan ini banyak mencungkil bakat muda untuk di ketengahkan ke saingan liga utama bola sepak Malaysia” katanya

Gambar:  Aksi pemain Kuantan (jersi biru) pada perlawanan menentang Bera, baru-baru ini.