GUA MUSANG TETAP WASPADA, KETEREH PKB IDAMKAN KEMENANGAN SULUNG

Juara musim kedua Liga Bolasepak Rakyat (LBR), Gua Musang tetap mengamalkan pendekatan
waspada menjelang pertembungan menentang Kuala Krai pada aksi Kumpulan D Zon Timur, Sabtu
ini.

Berkunjung di Padang Sekolah Menengah Kuala Krai, petang Sabtu ini bukanlah tugas mudah
memandangkan inilah pertembungan kali pertama buat kedua-dua pasukan memandangkan tahun
ini merupakan penampilan sulung buat Kuala Krai.

Ketua Jurulatih Gua Musang, Ruhaled Ab Hamid berkata, reputasi lawan yang membenam Ketereh-
PKB pada perlawanan sebelum ini perlu diberikan perhatian anak didiknya andai tidak mahu menjadi
mangsa kedua Kuala Krai.

“Pertembungan ini adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan, corak permainan pasukan lawan
agak sukar dibaca namun kami tetap waspada dan bersedia untuk memastikan keputusan positif
diraih pada perlawanan petang Sabtu nanti.

“Kuala Krai menewaskan Ketereh-PKB, 4-1 pada perlawanan sebelum ini, jadi kami rasakan mereka
pastinya akan memberikan saingan sengit apatah lagi beraksi di laman sendiri,” katanya.

Mengulas corak permainan yang bakal dijelmakan, tiada sebarang perubahan akan dilakukan dan
harapan tiga mata penuh disandarkan kepada kesebelasan utama yang beraksi di pentas akhir
musim lalu.

“Kami akan bermain seperti biasa, semangat berpasukan dan elak melakukan kesilapan mudah
hingga membuka ruang kepada lawan.

“Secara asasnya kami telah bersedia sepenuhnya dan mengharapkan barisan pemain yang
diturunkan akan cergas sepenuhnya untuk memberikan saingan kepada lawan sehinggalah wisel
penamat dibunyikan,” katanya.

Sementara itu, satu lagi pertembungan dalam kumpulan yang sama iaitu Ketereh PKB mahu
memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan pertama
dalam saingan LBR musim ketiga ini.

Selepas sekadar seri 1-1 pada aksi pertama menentang Kota Bharu dan tewas 1-4 di tangan Kuala
Krai sebelum ini, Ketereh PKB yakin beraksi di Padang Politeknik Kota Bharu akan memberikan
kelebihan dalam pertembungan menentang Setiu Tigers FC.

Pengurus pasukan Ketereh- PKB, Wan Md Narzudi Wan Muhd berkata, kemenangan pertama harus
diraih untuk memastikan peluang pasukan ke pusingan seterusnya terbuka luas.

“Kami seri dan kalah pada dua perlawanan sebelum ini, banyak kelemahan yang telah diatasi dan
aksi ketiga dilaman sendiri Sabtu ini seharusnya memberikan keputusan positif buat pasukan.

“Secara jujurnya penyertaan kali pertama dalam LBR musim ketiga ini adalah yang pertama dan ia
lebih kepada pendedahan pengalaman kepada barisan pemain tiada tekanan buat mereka.

“Setiap pasukan inginkan kejayaan cemerlang begitu juga Ketereh –PKB, tetapi kami perlu realistik
dan melihat kemampuan pasukan. Pastinya pemain akan memberikan persembahan terbaik kepada

lawan setiap kali beraksi,” jelasnya yang menaruh kepercayaan kepada barisan pemain untuk
melakar keputusan positif.

Gambar: Gua Musang dijangka mengekalkan rentak permainan yang sama untuk memastikan tiga mata
mampu diraih.