BENTONG TURUN KESEBELASAN TERBAIK, INDERA MAHKOTA ENGGAN MENGALAH

SKUAD Bentong bakal turun dengan kesebelasan terbaik mereka pada aksi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) berdepan Indera Mahkota saingan LBR Zon Tengah 2 , Sabtu ini.

Beraksi di halaman sendiri, Bentong yang dibawah seliaan Farid Abdul Manap kini dalam misi melebarkan mata untuk terus mencabar pasukan lain dalam Kumpulan B.

“Harapan kami sudah pasti terarah mencari kemenangan bagi meluaskan peluang mara ke pusingan seterusnya.

“Berita baik apabila beberapa pemain yang  sebelum  ini ditimpa kecederaan kembali pulih dan memperkasa pasukan.

“Insya Allah kehadiran pemain ini menjadi tonik tambahan kepada Bentong memungut tiga mata penuh pada perlawanan itu nanti,” katanya yang merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Bentong.

Jelasnya, keserasian antara pemain juga semakin mantap dan menjangkakan pertemuan di Padang Kompleks Sukan Benus, Bentong itu akan berlangsung sengit.

Farid  juga berharap rantaian serangan hadapan Bentong terus meledak gol supaya jumlah jaringan dalam kumpulan berpihak kepada mereka.

Bagi Penolong Pengurus pasukan Indera Mahkota, Wan Harman Wan Ali, kekalahan 0-7 ditangan Cheras Marcerra perlu dilupakan barisan pemain dan terus memberikan tumpuan perlawanan menentang Bentong.

Mengakui laluan agak berliku namun semangat enggan mengalah akan dipamerkan barisan pemain untuk membuktikan penyertaan kali pertama dalam kancah LBR memberikan manfaat kepada pasukan dan pemain.

Jelas Wan Harman , ini tahun pertama kami menyertai LBR, dari sudut persediaan pemain berlatih seperti biasa.

“Musim ini kami mempertaruhkan pemain-pemain seawal umur 17 hingga 24 tahun dan lagsung tiada pengalaman beraksi dalam pertandingan ini.

“Insya Allah, kami berusaha untuk memberi saingan dan tentangan sengit kepada pasukan Bentong nanti,” katanya

Gambar: Aksi pemain Indera Mahkota (kanan) cuba merampas bola dari kawalan pemain Cheras Marcerra.

Ø  Sabtu (7 Oktober 2017)

Zon Tengah 2
Kumpulan B
Bentong lwn Indera Mahkota
Padang Kompleks Sukan Benus, Bentong/4.45 Petang.