BALING MDB KENDURI GOL, KLANG TERUS BERPUTIH MATA

 

 

SIARAN SEGERA

BALING MDB KENDURI GOL, KLANG TERUS BERPUTIH MATA

www.lbr.my

#ligabolasepakrakyat

 

Saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/2018 yang baru memasuki perlawanan keeempat hujung minggu lalu mula mempamerkan kesungguhan kesemua pasukan dalam kumpulan masing-masing mengikut Zon untuk meraih tiga mata penuh bagi memastikan peluang ke peringkat seterusnya.

Tumpuan pastinya terarah kepada Baling MDB apabila membelasah Pendang 7-0 pada aksi di Stadium Mini Baling, Sabtu lalu yang meletakkan pasukan tersebut menerajui Kumpulan B Zon Utara selepas mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut.

Mengatasi Arau Pemuda 1-0 pada perlawanan pertama di Padang SMK Tengku Budriah, Arau pada 16 September lalu dan membelasah Pendang 7-0, mempamerkan keupayaan baik di jentera serangan dan pertahanannya yang perlu diberikan perhatian kepada pasukan lain.

Namun pengurus Baling MDB, Badrul Hisham Yaakub mahu pemainnya terus mempamerkan rentak konsisten dan tidak mendabik dada kerana perlawanan masih jauh.

Jelasnya, dua kemenangan itu disifatkan sebagai satu permulaan yang baik buat pemain-pemain mudanya di dalam usaha untuk melepasi sasaran mara ke peringkat kalah mati.

“Pasukan dibarisi ramai pemain berusia 23 tahun termasuk dua pemain berusia 17 tahun, ia merupakan satu pendedahan berguna untuk pasukan berkenaan bagi perancangan untuk jangkamasa panjang.

“Sebenarnya Baling mempunyai ramai pemain berbakat yang mampu diketengahkan malah ada di kalangan mereka selepas tamat kontrak bersama Piala Presiden mahupun Piala Belia tidak tahu hendak ke mana maka mereka hadir sesi pemilihan menyertai pasukan ini.

“Dalam masa yang singkat mereka sudahpun mempunyai persefahaman tinggi kerana sudah mempunyai pengalaman sebelum ini maka tugas jurulatih kami yang diketuai oleh Shariman Che Omar dan Saiful Rizal Yaakub menjadi lebih mudah,” jelasnya.

Badrul Hisham berkata, hasrat penaung pasukan itu yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk melihat lebih ramai anak jati dari kawasan tersebut mewakili pasukan tercapai.

“Kerjasama dengan Majlis Daerah Baling (MDB) juga berjaya memastikan persediaan latihan sebanyak enam kali seminggu juga berjalan lancar dan ini secara tidak langsung membuktikan kesungguhan pengurusan pasukan,” katanya.

Baling MDB bakal diuji kekuatan sebenar dalam saingan LBR apabila berdepan dengan Bandar Baharu yang turut mencatatkan dua kemenangan mengatasi Pendang 5-0 dan Arau Pemuda 2-1 sebelum ini.

Sementara itu pada aksi Zon Tengah 1 Kumpulan C pula, anak didik Hairil Zamri A Rashid seharusnya merasai kekecewaan meraih tiga mata apabila kealpaan menyebabkan Klang sekadar seri 1-1 dengan Petaling pada aksi di Padang SUK, Shah Alam.

Hilang tumpuan saat akhir dan kelekaan  minit akhir masa kecederaan menyebabkan impian Klang meraih tiga mata berkecai.

Bagi Hairil Zamri , sedikit kealpaan di benteng pertahanan seharusnya tidak berlaku dan perkara ini akan diatasi pada perlawanan akan datang.

“Saya perlu memuji aksi pemain yang berjuang bertungkus-lumus sepanjang perlawanan. Cuma, kita hilang dua mata penting akibat kealpaan di benteng pertahanan.

“Namun begitu, saya tetap berpuas hati aksi keseluruhan yang dipamerkan anak buah. Saya berharap para pemain perlu fokus untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Tambah Hairil Zamri,  sedikit aspek permainan akan ditingkatkan untuk perlawanan seterusnya khusus dari segi mental pemain untuk berjuang dalam 90 minit permainan.

“Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya akan lakukan penambahbaikan semasa dalam sesi latihan,” katanya.

Pada aksi terdahulu, Klang juga hanya mengakhiri permainan dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Temerloh, 23 September lalu.

Gambar : Kealpaan barisan pemain Klang menyebabkan mereka sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 menentang Petaling.