SARIKEI JALANI LATIHAN INTENSIF

PASUKAN Sarikei kini giat menjalani latihan intensif setiap hari di Padang Bola Sepak Stadium Bintangor Meradong yang merupakan venue utama untuk kancah Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017. Skuad Sarikei dijadualkan bertemu Sibu di halaman lawan di Stadium Tun Zaidi petang esok dengan misi mengutip tiga mata penuh.

Pengurusnya, Khairulddin Qalam berkata, anak buahnya tidak ‘duduk diam’ selepas perlawanan menentang Sri Aman pada 16 September lalu. “Pemain sekarang sedang berlatih di bawah seliaan Penolong Jurulatih, Fadillah dan Ahmed Indrayanna setiap hari mulai jam 4.30 petang. Harapan kita cukup tinggi iaitu tekad mengutip tiga mata bila bertemu dengan pasukan Sibu. Kemenangan itu sudah pasti untuk melonjakkan pasukan Sarikei di tangga teratas kumpulan,” katanya.

Jelas Khairulddin, seluruh kem pasukan Sarikei dalam kondisi terbaik dan tampak lebih bersedia dari segi segi mental dan fizikal. “Tahap kecergasan pemain juga terbaik dan boleh bermain pada bila-bila masa diperlukan. Lagipun, kebanyakan daripada pemain kita terdiri daripada skuad Belia yang telah menjadi Naib Juara Piala Sarawak Belia 2016,” katanya.

 

Keterangan Gambar

S1 : Pasukan Sarikei giat menjalani latihan dalam usaha memantapkan corak permainan dan keserasian.