SERIAN KEKAL 70 PERATUS MUKA LAMA

KIRA-KIRA 70 peratus pemain Serian dikekalkan bagi mengharungi musim baharu Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 yang bermula 8 September ini.

Naib juara musim 2016/2017 itu dijangka menyerapkan semula majoriti pemain itu dalam senarai 25 hingga 30 pemain yang akan didaftarkan dalam LBR.

Pengurus pasukan Serian, Philip Jabu berkata, persiapan mereka yang sudah dimulakan berjaya menarik kehadiran lebih 200 pemain.

“Kebanyakan yang turut datang untuk mencuba nasib bagi mewakili Serian musim depan datangnya dari Kuching dan Samarahan,” katanya.

Jelasnya, baki 30 peratus pemain musim lalu dilepaskan kerana sudah melebihi umur seperti syarat pertandingan LBR dan komitmen pekerjaan.

Menurut Philip, Serian mungkin hanya menumpukan misi merampas kejuaraan LBR musim baharu ini setelah dihampakan dengan jaringan tempat lawan oleh Gua Musang dalam perlawanan akhir 2016/2017 di Kuching, Mei lalu.

“Mungkin sukar bagi kami teruskan terutama daripada segi kos perjalanan pasukan jika turut ditawarkan bermain dalam Liga FAM 2018 (sebagai antara dua pasukan teratas LBR).

“Lagipun saya rasa sudah cukup kalau Kuching FA menjadi wakil Sarawak dalam.Liga FAM sekarang. Hal ini pernah kami rujuk dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Jadi tumpuan lebih baik hanya diberikan kepada LBR,” katanya yang turut mendapat tahu bahawa Serian ditawarkan untuk beraksi sebagai pasukan undangan Piala Emas Raja-raja yang bermula 17 September ini.

Namun keputusan muktamad katanya, perlu menunggu surat rasmi daripada penganjur piala itu, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).