GUA MUSANG JUARA LBR MUSIM 2016/2017

PERATURAN kelebihan jaringan gol ditempat lawan nyata memberi manfaat besar buat Gua Musang apabila berjaya merangkul gelaran kejuaraan Liga Bolasepak Rakyat 2016/2017 selepas menewaskan Serian pada aksi Akhir II di Stadium Petra Jaya, Kuching, Ahad lalu.

Gua Musang yang hadir tanpa bekalan selepas kecundang 0-1 pada aksi Final I di Kota Bharu, Kelantan 13 Mei lalu bagaimanapun menterbalikkan kelebihan tersebut dengan keputusan 2-1 untuk memastikan agregat 2-2.

Bagaimanapun peraturan kelebihan jaringan gol ditempat lawan memberikan kemenangan buat anak didik Ruhaled Abd Hamid untuk merangkul hadiah kejuaraan RM100,000.00 beserta Piala LBR ke semenanjung selepas musim pertama berada di Bornea apabila Kuching FA menjuarainya.

Bagi Ruhaled, kemenangan yang diraih pasukannya merupakan satu sejarah buat Kelantan secara amnya dan khususnya Gua Musang dalam sukan bola sepak tempatan.

“Pastinya kemenangan ini begitu berharga, kami hadir dengan tekanan apabila tanpa bekalan, namun pemain membuktikan kemampuan melalui semangat berpasukan selain mengikuti segala arahan dalam padang.

“Ketinggalan 0-1 pada final pertama tidak melemahkan semangat barisan pemain, mereka melakukan asakan selepas wisel perlawanan dibunyikan, ternyata ia sesuatu yang berbaloi apabila segala kerja keras sepanjang kejohanan LBR dibalas dengan kejuaraan musim kedua,” katanya.

Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Ciku 3 Gua Musang ini juga memuji tahap disiplin dipamerkan barisan pemain selain keberkesanan taktikal pada perlawanan itu.

“Sebelum ini kita melakukan serangan melalui hantaran bola tinggi, ia sedikit sukar apabila pemain tuan rata-rata memiliki ketinggian berbanding pemain Gua Musang, tetapi untuk kali ini kita menerapkan hantaran rendah selain menyerang melalui sayap kanan serta kiri.

“Alhamdulillah strategi ini berkesan dan memberi tekanan kepada pemain lawan hingga melakukan kesilapan selain disiplin tinggi dipamerkan pemain Gua Musang,” ujarnya.

Sementara itu, rakan sejawatannya di kem Serian, Rozaini Romainor mengakui kekurangan seorang pemain nyata memberi tekanan buat pasukan dan kelebihan kepada Gua Musang.

“Beraksi di pentas akhir dengan kekurangan seorang pemain begitu sukar, ia merubah segala-galanya walaupun pada satu ketika Serian berada dalam keadaan selesa selepas menjaringkan gol pertama perlawanan.

“Gua Musang memanfaatkan kelebihan tersebut dengan serangan bertali arus dipelbagai sudut dan kami harus mengakui kemenangan lawan,” jelasnya.

Rozaini bagaimanapun mengucapkan tahniah kepad pemainnya yang berjaya membawa pasukan ke pentas akhir walaupun pada awalnya tanpa sebarang harapan.

“Final adalam sasaran kami dan andai menjulang kejuaraan ia umpama bonus, kami telah melakukan yang terbaik dan saya bangga dengan pasukan,” katanya yang menghamburkan ucapan tahniah buat Gua Musang.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu meldak jaringan melalui Mohamad Ibrahim Jobeli pada minit ke 20 sebelum pelawat menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian melalui pemain tumpuan, Mohd Azizul Hakimi.

Selang seminit kemudian, kekasaran pemain Serian Mohd Hadera Bakri terhadap pemain Gua Musang nyata membawa padah buat dirinya apabila dilayangkan kad merah. Kelebihan tersebut dimanfaatkan lawan yang menjaringkan gol kemenangan menerusi jaringan Wan Mohd Khairuzan pada minit ke 55.

Juara edisi kedua LBR 2016/2017, Gua Musang membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM100,000 manakala Serian selaku naib juara beroleh RM75,000 sementara dua pasukan yang kalah separuh akhir, Keningau dan Bachok masing-masing mendapat RM25,000.

Keputusan perlawanan Final I

13 Mei 2017

Gua Musang (0) lwn (1) Serian

(Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu Kelantan)

Keputusan Final II

21 Mei 2017

Serian (1) lwn (2) Gua Musang

(Stadium Petra Jaya, Kuching Sarawak)

*Gua Musang bergelar juara dengan kelebihan jaringan ditempat lawan walaupun kedua pasukan terikat dengan agregat 2-2.