SERIAN KEJUTKAN GUA MUSANG DI KOTA BHARU

KOTA BHARU: Jaringan tunggal Mahadi Razak membawa Serian menghampiri kejuaraan Liga Bola Sepak Rakyat 2016/2017 walaupun belum cukup selesa apabila menang tipis 1-0 terhadap Gua Musang dalam perlawanan akhir I di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
 
Rembatan Mahadi hasil umpanan Naim Drahman pada minit ke-48 itu memberikan kelebihan modal satu gol di tempat lawan sebelum kedua-dua pasukan menyambung aksi timbal balik dalam perlawanan akhir II, 21 Mei ini.
 
Tewasnya penjaga gol remaja Gua Musang, Muhammad Alif Haiqal Mahadi dengan gol itu bererti tugas lebih getir menanti mereka kerana perlu memburu minimum dua gol apabila bertandang ke Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
 
Bagi Serian, pasukan dari Sarawak itu kini hanya memerlukan keputusan seri di Kuching sekali gus bakal memastikan trofi LBR kekal di Bumi Kenyalang selepas Kuching menjulangnya dengan menewaskan Padang Besar 3-1 pada musim 2015/2016.
 
Jurulatihnya, Rozaini Romainor, berkata: “Saya memang berpuas hati dengan kemenangan ini. Pemain-pemain kami sudah memainkan peranan dengan cemerlang untuk membolehkan kami memiliki kelebihan gol tempat lawan.”
 
Mengenai ketiadaan bek tengah utama, Rahman Hamdan yang digantung perlawanan semalam kerana mengumpul dua kad kuning, katanya, Rozaini berkata: “Penggantinya, Abbel Akwensivie, berjaya menjalankan tugas itu dengan sangat baik.
 
“Banyak terjahannya menyukarkan asakan Gua Musang ke gawang kami,” kata Rozaini yang bakal beroleh semula kesebelasan terbaiknya di Kuching namun kini mungkin sukar membuat pilihan di barisan benteng itu.
 
Sementara itu, jurulatih lawan, Ruhaled Ab. Hamid agak terkilan dengan kealpaan anak-anak buahnya dalam menangani gerakan pemain Serian yang bermula dari kawasan sebelah kiri tuan rumah.
 
“Saya tidak nafikan Haiqal agak gementar di gawang apabila diturunkan dalam perlawanan akhir ini dengan usianya baru 17 tahun namun kami janjikan kebangkitan di Kuching. Ketinggalan 1-0 ini tidaklah begitu besar.
 
“Lagipun dalam pencapaian lalu kami masih mampu menang apabila bermain di tempat lawan, umpamanya seperti ketika menentang Pasir Puteh dan Kuala Nerus (Kumpulan 1 Zon Timur dan Play-off), Cheras dan Keningau (suku akhir dan separuh akhir Peringkat Kebangsaan),” katanya.
 
Gua Musang juga katanya, beroleh lima peluang keemasan yang mampu mengubah keputusan semalam termasuk dua percubaan Muhammad Izzuddin Hussain dan Mohamad Azli Mat yang hanya berdepan penjaga gol yang juga kapten Serian, Mohd. Rizal Ahmad tetapi tidak dapat menterjemahkannya ke dalam gawang.
 
“Ini menunjukkan kami sentiasa mencari ruang untuk mencipta peluang. Jika pemain kekal fokus dan tidak berputus asa, tiada yang mustahil di Kuching nanti,” katanya.