CHERAS RAMAL GUA MUSANG, KENINGAU PILIH SERIAN

KUALA LUMPUR: Ada yang memilih Gua Musang. Ada pula yang meramal Serian.
 
Jurulatih Cheras, Shamsudin Ismail meramalkan Gua Musang bakal bergelar juara Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/2017 manakala rakan sejawatannya di Keningau, Sueli Apin menjadikan Serian sebagai pilihannya.
 
Shamsudin berkata: “Gua Musang, Kelantan akan muncul juara dengan menewaskan Serian 2-1 (dalam perlawanan akhir timbal balik di Kota Bharu, Sabtu ini dan Kuching, 21 Mei).
 
“Sukar saya hendak mengulas sejauh mana kekuatan atau kelemahan Serian kerana Cheras tidak pernah menentang mereka sepanjang musim ini (berlainan saingan Zon dan tidak sekumpulan Peringkat Kebangsaan mahupun ketika kalah singkir).
 
“Walaupun tiada pemain yang benar-benar cemerlang, mutu permainan pasukan Gua Musang dianggap seimbang dengan Cheras,” kata Shamsudin yang menyaksikan anak buahnya disekat 4-3 secara agregat pada suku akhir lalu.
 
Gua Musang yang dibimbing Ruhaled Ab. Hamid, seri 2-2 dengan Cheras dalam suku akhir pertama, 15 April lalu namun memenangi suku akhir kedua seminggu kemudian, 2-1. 
 
Sueli sebaliknya berkata, Serian dari Sarawak bakal menjuarai LBR dengan kemenangan agregat 2-0 malah mengalu-alukan format final musim kedua ini yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV dan Stadium Negeri itu. 
 
“Final ini bakal berpihak kepada Serian namun kedua-dua pasukan ini sudah membuktikan mereka sama hebat dan kuat. Jika tidak, mana mungkin mereka mampu sampai sejauh ini,” katanya.
 
Keningau dihampakan Gua Musang 4-2 secara agregat setelah kalah dalam kedua-dua separuh akhir timbal balik, 1-0 di Padang Sivik Bandar Gua Musang dan 3-2 di Kompleks Sukan Keningau. 
 
Namun Sueli turut tertarik dengan kemampuan pemain Gua Musang yang berjersi nombor 11, Mohd. Azizul Hakimi Che Rosdin, yang menjaringkan tiga gol dalam kedua-dua separuh akhir itu. 
 
“Dia mungkin mampu terus menyerlah dalam perlawanan akhir nanti,” katanya yang walau bagaimanapun tetap berpendapat bahawa apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
 
Jurulatih Bachok, Saidi Mamat pula meramalkan Gua Musang akan menjulang trofi LBR dengan keputusan 2-0 berdasarkan pengamatannya dalam pertemuan dua pasukan berjiran itu ketika peringkat Play-off Zon Timur lalu yang dimenangi lawan, 4-1.