SERIAN, GUA MUSANG BERENTAP FINAL LBR

Pasukan Serian meraikan kemenangan ke atas Bachok, sekali gus mara ke final LBR Musim Ke-2

SERIAN mengikut jejak juara musim lalu senegeri, Kuching mara ke perlawanan akhir Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/2017 selepas menundukkan Bachok 2-1 dalam separuh akhir kedua di Padang IKBN, Kampung Tangok, Bachok, Sabtu lalu.

Pelawat dari Sarawak ini menang secara agregat 4-2 (2-1 minggu lalu) sekali gus akan menentukan siapa juara musim kedua LBR dengan Gua Musang yang menewaskan Keningau 1-0 dan 4-2 juga secara agregat di Padang Sivik Bandar Gua Musang.
Jaringan penyamaan pemain pelawat, Mahadi Razak minit ke-54 dan gol sendiri Mohamad Hafizi Saupi, dengan baki dua minit babak kedua meranapkan langsung harapan Bachok untuk memastikan final milik kedua-dua pasukan Kelantan.
Tuan rumah yang dibimbing Saidi Mamat mulanya tampak meyakinkan dalam misi memburu kemenangan minimum 1-0  dengan membuka gol pada minit ke-24 menerusi Hafizzuan Ismail tetapi Serian rupa-rupanya ada idea berlainan.
Di Gua Musang, jaringan tunggal sepakan penalti pemain tuan rumah, Hakimi Rosdin pula menyekat kebangkitan Keningau, sebuah lagi pasukan Borneo untuk menyusuli langkah Serian. Gua Musang menang 3-2 di Keningau, minggu lalu.
Berbeza dengan final di antara Kuching dan Padang Besar yang dianjurkan di Stadium Selayang, format perlawanan akhir LBR musim ini diadakan secara timbal balik dengan pusingan pertama dijadualkan 13 Mei di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan kedua, 21 Mei di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.