SERIAN TOLAK TAKTIK BERTAHAN

SERIAN tidak mahu mempamerkan corak bertahan sepenuh masa hanya semata-mata untuk meraih keputusan seri yang mencukupi bagi menjamin tempat ke final Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/2017.

Sekalipun hanya perlu seri di Padang IKBN, Bachok, pada separuh akhir kedua Sabtu ini, Rozaini Romainor percaya taktik itu hanya lebih mendedahkan mereka dengan risiko kekalahan yang mengecewakan.

“Bertahan bukan pilihan Serian, sebaliknya kami akan menggunakan formasi yang biasa kami gunakan sebelum ini,” katanya, merujuk modal kemenangan 2-1 daripada separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Serian, minggu lalu.

Penjaring terbanyak Serian, Mohamad Hadera Bakri menjulang mereka dengan dua gol kemenangan 2-1 biarpun pelawat dari Kelantan sempat menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Rosli Hussin.

Kata Rozaini, mereka tidak sempat mengadakan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan dalam tempoh rehat sejak separuh akhir pertama lalu.

“Hanya latihan biasa kami jalani sebagai persediaan ke Bachok. Azam kami ialah lakukan yang terbaik memandangkan semua pemain bebas daripada kecederaan atau penggantungan permainan.

Namun Serian didapati sukar menjaringkan gol di gelanggang lawan seperti terbukti ketika terikat 0-0 dengan Kangar di Stadium Tuanku Syed Putra, 23 April lalu dan hanya mampu ke separuh akhir dengan agregat 1-0.

“Bezanya Bachok dengan Kangar ialah lawan dari Kelantan itu mampu membolosi gawang kami di Serian. Jadi kami tidak boleh atau sesekali cuba mengambil mudah tentangan Bachok nanti,” katanya.

Seri dalam perlawanan itu sudah memadai untuk melayakkan Serian mengikut jejak pasukan senegeri Sarawak, Kuching yang turut menjuarai LBR edisi pertama musim lalu dengan menumpaskan Padang Besar, Perlis.