KENINGAU SEDIA GEMPUR GUA MUSANG

KUALA LUMPUR: Keningau tidak rela dihukum lagi dengan kesilapan sendiri gara-gara gementar dan disiplin longgar mereka sehingga kecundang bagi perebutan tiket final Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/2017 di Gua Musang, Sabtu ini.

Dua faktor itu wajar menjadi pengajaran penting skuad bimbingan Sueli Apin ini yang perlu memburu kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 pada separuh akhir kedua di Padang Sivik Bandar Gua Musang, Kelantan nanti.

Kekalahan 3-2 termasuk melepaskan dua gol pantas dalam tempoh tujuh minit di Kompleks Sukan Keningau cukup mengecewakan Sueli sekalipun pasukannya sudah diingatkan lebih awal supaya kerap mematuhi arahan dan disiplin permainan.

“Sebagai jurulatih, saya kecewa dengan kesilapan itu tetapi saya juga perlu akui Gua Musang memang sebuah pasukan yang bagus (beroleh dua gol menerusi Azizul Hakimi dan satu, Mohamad Azli Mat),” katanya.

Jelas Sueli, anak-anak buahnya kini diingatkan agar sentiasa menghargai dan pantas menyambar setiap peluang yang dicipta sendiri mahupun yang mungkin dibuka gara-gara kesilapan atau kelalaian lawan.

Gua Musang pada pengamatannya masih mengalami masalah kerapuhan barisan belakang andainya diserang balas lagi secara mengejut seperti yang berjaya dibolosi Shamsonale Boy Agumin dan Steffano Sakunir, Sabtu lalu.

Namun Keningau selain itu masih perlu berdepan pemain ke-12 Gua Musang – penyokong setia tuan rumah yang bakal menemani skuad bimbingan Ruhaled Hamid ini beramai-ramai dan sorakan gamat pemarak semangat.

Modal tiga gol Gua Musang daripada separuh akhir pertama lalu meletakkan mereka lebih selesa untuk menjamin tiket final malah sebarang tambahan gol tuan rumah, Sabtu ini bakal terus menyulitkan kebangkitan pelawat dari Sabah itu.

Jadual separuh akhir kedua LBR 2016/2017

Sabtu (6hb Mei 2017)

Gua Musang lawan Keningau (3-2)
(Padang Sivik, Bandar Gua Musang, 4.15 petang)

Bachok lawan Serian (1-2)
(Padang IKBN, Tangok, Bachok, 4.15 petang)
* Keputusan separuh akhir pertama ( )